Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

PORT DICKSON, 1 Mac 2022 - Hari ini merupakan hari yang bersejarah buat Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam meraikan Hari Tentera Darat Ke-89 yang berlangsung di Padang Kawad, Kem Segenting.

Bertemakan "Kesejahteraan Keluarga TD Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin", aspek kesejahteraan dan kebajikan menjadi fokus utama dalam mengekalkan moral dan semangat untuk TDM melaksanakan tugas primer dengan lebih baik iaitu menjaga kedaulatan dan kepentingan negara.

Sambutan kali ini juga agak berbeza berbanding tahun sebelumnya di mana pada tahun ini telah dipertontonkan dengan Demonstrasi Dinamik yang mempamerkan keupayaan Aset dan Kompetensi TDM sebelum disusuli dengan Perbarisan Tempur serta Penyampaian Perutusan Panglima Tentera Darat.

Antara aset yang terlibat dalam segmen Demonstrasi Dinamik ialah ASTROS, Kereta Kebal PT91M PENDEKAR, Kenderaan Perisai 8x8 GEMPITA, Kenderaan Berperisai Berantai ADNAN, Kenderaan Berperisai 4x4 LIPAN BARA, Meriam 105mm LG 1 MK III, Helikopter LOH A109 Agusta, SUPACAT, Kenderaan Pengangkut Senjata VAMTAC, Scrambler, 72 Bot Tempur dan Rigid Inflatable Boat (RIB) dan lain-lain aset. Penglibatan untuk Demonstrasi Dinamik terdiri daripada kerjasama diantara Tentera Udara Diraja Malaysia, Pasukan Udara Tentera Darat, 21 Gerup Gerak Khas dan 10 Briged (Para).

Manakala bagi acara Perbarisan Tempur pula telah diketuai oleh Kolonel Din Izuan bin Mahar Afandi melibatkan lapan detasmen yang terdiri daripada turut melibatkan detasmen Tempur, detasmen 10 Briged (Para), detasmen 21 Gerup Gerak Khas, detasmen Bantuan Tempur, detasmen Bantuan Khidmat dan detasmen Wanita Tentera Darat.

Acara yang sama turut berlangsung adalah penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang tahun 2021 yang melibatkan seramai enam Pegawai dan lima anggota LLP, Anugerah Pingat Perkhidmatan Setia yang melibatkan empat Pegawai dan enam anggota LLP serta Penyampaian Anugerah Pisau Tempur Tentera Darat kepada Mejar Azhari bin Abdullah dari Jabatan Arah Infantri Markas Tentera Darat.

Seterusnya, penyampaian Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera tahun 2021 terdiri daripada tujuh Formasi bagi memberikan pengiktirafan kepada formasi briged dan setaraf yang menunjukkan tahap kesiagaan tertinggi berpandukan kepada kriteria yang telah ditetapkan. Johan anugerah tersebut telah disandang oleh formasi 10 Briged (Para) manakala Naib Johan pula disandang oleh formasi Briged Ketujuh Infantri Malaysia dan Tempat Ketiga jatuh kepada 21 Gerup Gerak Khas.

Tan Sri PTD dalam ucapannya menyeru warga TDM untuk merapatkan barisan dan terus memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada pucuk pimpinan TDM agar ketumbukan ini terus maju ke hadapan sebagai benteng utama pertahanan negara.

Sambutan Hari Tentera Darat telah diadakan mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang terkawal tanpa kehadiran penonton dari kalangan masyarakat setempat atau luar. Ini adalah sebagai kawalan bagi memastikan acara dapat diadakan dengan lancar dan mengawal sebarang kebarangkalian penularan wabak COVID-19.