Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

SUBANG, 28 Februari 2022 – Ketibaan sebanyak enam unit Helikopter MD530G bakal perkukuhkan ketumbukan tempur Tentera Darat Malaysia (TDM).

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain hadir menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut di Hangar 2 Invation Aero, Subang pada hari ini.

Pesawat MD530G merupakan pesawat buatan Amerika Syarikat dan dibina oleh MD Helicopter Inc (MDHI) yang dibekalkan oleh Syarikat Halaman Optima Sdn Bhd melalui Syarikat Destini Prima Sdn Bhd.

Terdahulu, helikopter ini telah selamat tiba di Pelabuhan Klang pada 21 Februari 2022 jam 0300 setelah melalui pelayaran panjang selama 31 hari dari Pelabuhan Oakland, Amerika Syarikat pada 20 Januari 2022.

Selain membekal enam buah helikopter, kontrak perolehan ini juga merangkumi program latihan untuk juruterbang dan juruteknik Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD). Seramai lapan juruterbang dan sembilan juruteknik telah menghadiri program latihan tersebut di Mesa, Arizona, Amerika Syarikat selama 43 hari bermula pada 26 April hingga 11 Jun 2021.

Pesawat ini juga telah melalui pemeriksaan kefungsian dan keupayaan pesawat. Ia dilakukan demi menentukan kualiti pesawat ini menepati spesifikasi TDM. Pemeriksaan ini merangkumi pemeriksaan fizikal pesawat, pemeriksaan kefungsian/keupayaan pesawat, pemeriksaan fizikal alat ganti, pemeriksaan 'Flight Training Device' (FTD) (simulator) dan pemeriksaan fizikal persenjataan pesawat.

Peranan utama helikopter ini adalah sebagai pesawat tempur ringan dan keupayaan kuasa tembakan (firepower) yang dimiliki oleh pesawat ini mampu menggempur kenderaan perisai ringan dan trup infantri pada jarak 500 meter ke tujuh kilometer. Bukan itu sahaja, ketangkasan (agility) yang dimiliki oleh helikopter ini juga membolehkan ianya melaksanakan tugas tinjauan udara.

Perolehan aset sebegini juga sejajar dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28, iaitu; “Kelangsungan Misi dan Kesiagaan” dengan memberi penumpuan kepada peningkatan tahap kesiagaan, kompentensi dan aset TDM.