Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KUALA LUMPUR, 24 Februari 2022 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah menyempurnakan Upacara Pemakaian Pangkat kepada tiga (3) Pegawai Kanan TUDM dan seorang Pegawai Kanan Tentera Darat bertempat di Eagle Nest, Markas Tentera Udara.

Mencatatkan sejarah manis khususnya bagi Cawangan Tadbir apabila Panglima Tentera Udara menyempurnakan pemakaian pangkat kepada Brig Jen Dato’ Ahmad bin Abd Rahman TUDM yang dinaikkan ke pangkat Mej Jen TUDM dan kekal menjawat jawatan sebagai Timbalan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (T AKSPA) di MATM Bahagian Perkhidmatan Anggota.

Upacara pemakaian pangkat turut menyaksikan dua (2) pegawai kanan TUDM dinaikkan ke pangkat Pemangku Kolonel TUDM iaitu Lt Kol Mah Kok Leon TUDM yang membuat tugas Pengarah Latih di MTU-Bahagian Sumber Manusia dan Lt Kol Mohd Sam bin Mohd Yusof TUDM yang membuat tugas sebagai Pengarah Pasukan Simpanan Tentera Udara.

Seterusnya, Panglima Tentera Udara bersama Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman telah turut menyempurnakan upacara pemakaian pangkat kepada Mej Salahuddin bin Shafiee yang dinaikkan pangkat ke Pemangku Lt Kolonel dan membuat tugas sebagai PS 1 Agama KAGAT di Markas Tentera Udara.

Turut hadir menyaksikan upacara pemakaian pangkat ini adalah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Indera Hj Mohamad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Bantuan Udara, Lt Jen Dato' Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Dato' Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera, Mej Jen Hj Muhammad Azmi bin Wahab serta beberapa pegawai kanan TUDM.

Seluruh warga TUDM mengucapkan tahniah kepada Mej Jen Dato’ Ahmad bin Abd Rahman TUDM, Kol Mah Kok Leon TUDM, Kol Mohd Sam bin Mohd Yusof TUDM dan Lt Kol Salahuddin bin Shafiee yang dinaikkan pangkat hari ini.

Sesungguhnya kenaikan pangkat tersebut adalah bukti kepercayaan pucuk pimpinan tertinggi ATM dan TUDM di atas prestasi dan dedikasi yang dicurahkan untuk perkhidmatan serta menjadi motivasi kepada yang lain.