Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

LUBNAN, 1 Mac 2022 – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM menyatakan bahawa penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi pengaman di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL)) sejak tahun 2007 hingga kini berjaya meningkatkan imej Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya.

ATM dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) melalui peranan yang digerakkan kontinjen MALBATT sangat dikenali dan dihormati oleh masyarakat Lubnan berdasarkan sikap profesional yang dipamerkan oleh setiap pegawai dan anggota kontinjen terutama komitmen mereka melalui Program Kerjasama Awam dan Tentera bagi misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau CivilMilitary Coordination in UN Integrated Peacekeeping Missions (UN-CIMIC).

Berbekalkan slogan “Serving For Peace”, Malbatt 850-9 yang berperanan mengawalselia kawasan tanggungjawab seluas 288 km persegi serta memantau keselamatan di 48 buah perbandaran (municipalities), kehadiran mereka terus diyakini apabila usaha membina persefahaman serta penerimaan positif kontinjen berkenaan sentiasa diperkukuh dengan tanpa mengabaikan konsep winning the heart and mind terhadap penduduk tempatan setiap kali program CIMIC dilaksanakan.

Kesinambungan gerak kerja ini menjadi antara agenda utama dari satu kontinjen ke kontinjen yang seterusnya, dalam usaha memperkasakan aspek jaringan perhubungan bersama komuniti tempatan seterusnya mencapai aspirasi sebagai salah sebuah Kontinjen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang kredibel dan dihormati.

Pada sesi lawatan kerja Jeneral Tan Sri Hj. Affendi Buang ke kawasan tanggungjawab Kontinjen MALBATT 850-9, beliau turut berpeluang merasmikan MALBATT Fisioterapi Centre di Haidar Khalil Medical Centre, Ma’rakah yang turut disaksikan oleh Mayor Ma’rakah, Mr Adel Saad dan Pengarah Haidar Khalil Medical Centre, Mr Ali Trad.

Projek CIMIC di bawah program Troop Contributing Countries (TCC) yang ditaja sepenuhnya oleh MALBATT 850-9 ini melalui perancangan rapi Sel CIMIC kontinjen berkenaan, sesungguhnya amat disyukuri dan dihargai oleh komuniti Ma’rakah dan komuniti berhampiran atas manfaat besar bagi mereka yang memerlukan rawatan kerana ia merupakan satu-satunya pusat fisioterapi yang ada di daerah tersebut.

Projek ini telah diluluskan pada 15 Januari 2022 oleh Markas Angkatan Bersama di mana kerja-kerja pembinaan pusat fisioterapi berkenaan dengan ruang bangunan yang disediakan oleh pihak Haidar Khalil Medical Centre telah dilaksanakan oleh Elemen Jurutera MALBATT 850-9 bermula 13 Februari 2022 dan siap sepenuhnya pada 19 Februari 2022.

Bermula 13 November 2021, sejak mengambil alih tugas dari Kontinjen terdahulu, MALBATT 850-9 telah berjaya melaksanakan keseluruhan 47 program CIMIC meliputi 34 aktiviti di bawah Program Key Leader Engagement (KLE) and Meeting, 7 aktiviti di bawah Program ‘Donation’, 2 aktiviti Community Engagement Works (CEW) dan 4 aktiviti di bawah Program Troop Contributing Countries (TCC) dan Quick Impact Project (QIP).

Kesemua inisiatif MALBATT 850-9 melalui program CIMIC ini sudah pasti menjadi ingatan dan dihargai oleh komuniti setempat atas komitmen, usaha serta sumbangan yang diberikan kepada mereka sepertimana yang telah dilaksanakan oleh Kontinjen terdahulu.

Sebagai contoh, sumbangan kontinjen MALBATT 850-8 sebelum ini, yang mengambil inisiatif melalui aktiviti CIMIC dengan membuat penambahbaikan serta mencantikkan sebuah taman permainan di Ma’rakah yang akhirnya dihargai oleh komuniti setempat dengan menamakan taman tersebut sebagai MALBATT Park atas usaha yang telah dilaksanakan.

Sesungguhnya, komitmen yang diberikan oleh MALBATT 850-9 dalam melaksanakan misi pengaman di Lubnan ini bukan sahaja menggambarkan kredibiliti kontinjen berkenaan malah turut menaikkan imej ATM serta tidak terkecuali ABDB dalam menyokong dasar Kerajaan Malaysia dan Brunei bagi aspek pembinaan serta pemerkasaan hubungan antarabangsa bagi konteks jaringan diplomasi pertahanan dan ketenteraan.