Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

LUBNAN, 23 Februari 2022 – Sempena lawatan kerja Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke Kontinjen Malbatt 850-9 yang melaksanakan misi pengaman di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan atau United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL), Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM mengambil inisiatif memperkasakan jaringan hubungan diplomasi pertahanan serta antarabangsa melalui kunjungan hormat beliau kepada pucuk pimpinan UNIFIL, Angkatan Tentera Lubnan (Lebanese Armed Forces) dan tidak ketinggalan turut melaksanakan pertemuan dengan Duta Besar Malaysia ke Lubnan.

Memulakan hari kedua lawatan kerja beliau pada 21 Februari 2022, Panglima Angkatan Tentera telah disambut dengan penghormatan ketenteraan ketika membuat kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Misi (Deputy Head of Mission) UNIFIL, Mr. Jack Christofides yang turut disertai oleh Timbalan Komander (Deputy Force Commander) UNIFIL, Brigedier Jeneral Irvine Nii-Ayitey Aryeetey di Markas UNIFIL, Naqoura.

Pertemuan Panglima Angkatan Tentera dengan kedua-dua pucuk pimpinan UNIFIL berkenaan merupakan agenda utama dalam menyatakan komitmen Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya dalam misi pengaman tersebut, seterusnya berupaya memperkukuhkan keyakinan antarabangsa sejak Malaysia terlibat menghantar anggota ATM ke Lubnan bermula tahun 2007 yang kemudiannya turut disertai secara bersama oleh beberapa pegawai serta anggota daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pada tahun 2008.

Bermula detik itu, Malaysia dan ATM khususnya terus diberi kepercayaan untuk kekal terlibat dalam misi pengaman di negara berkenaan yang bukan sahaja menyerlahkan kemampuan anggota ATM, malah turut membuktikan kredibiliti, kewibawaan dan kecemerlangan ATM itu sendiri di peringkat antarabangsa.

Bagi memperkasakan kerjasama pertahanan antara angkatan tentera kedua-dua buah negara, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi turut mengadakan kunjungan hormat kepada Panglima Angkatan Tentera Lubnan (Lebanese Armed Forces Commander), Jeneral Joseph Khalil Aoun di Kementerian Pertahanan Lubnan di Beirut.

Pengekalan dan pemerkasaan kerjasama pertahanan ini amat penting bagi meningkatkan kesefahaman dan menyatakan komitmen angkatan tentera kedua-dua buah negara, tambahan ATM melalui kontinjen MALBATT mengawalselia kawasan tanggungjawab seluas 288 km persegi serta memantau keselamatan di 48 buah perbandaran (municipalities) di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat, UNIFIL.

Pengekalan kesefahaman dan keyakinan Lubnan khususnya angkatan tentera negara berkenaan terhadap ATM juga merupakan suatu pengiktirafan dan penghargaan lebih-lebih lagi kontinjen MALBATT amat komited melaksanakan pelbagai aktiviti operasi secara berkala bersama Angkatan Tentera Lubnan di bawah pengoperasian Independent and Coordinated Activity With Lebanese Armed Forces (COAWL).

Ini membuktikan komitmen padu ATM dan tidak ketinggalan Kerajaan Brunei melalui penyertaan ABDB di dalam pasukan MALBATT terhadap usaha mewujudkan keamanan sejagat di peringkat antarabangsa yang seterusnya berupaya menambat hati rakyat Lubnan berdasarkan konsep winning the heart and mind melalui pelaksanaan program seperti Key Leaders Engagement, Combined Outreach Program, Program Khidmat Sosial dan program-program Civil Military Cooperation (CIMIC) termasuklah menyediakan rawatan perubatan dan pergigian percuma serta membantu menaiktaraf kemudahan awam dan sekolah komuniti setempat.

Mengakhiri sesi kunjungan hormat, Panglima Angkatan Tentera turut ke Kedutaan Malaysia di Beirut bagi mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Malaysia ke Lubnan iaitu Tuan Yang Terutama (TYT) Azri Mat Yacob.

Pertemuan ini merupakan antara inisiatif memperkasakan hubungan ATM dan Kedutaan dalam aspek perkongsian pandangan bagi usaha meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia-Lubnan melalui penglibatan dan peranan MALBATT dalam misi pengaman di negara berkenaan.

Turut mengiringi Panglima Angkatan Tentera dalam kesemua kunjungan hormat ini ialah Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato’ Indera Hj. Yazid bin Hj. Arshad TUDM; Ketua Pengarah Perancangan Pembangunan Markas ATM, Brigedier Jeneral Dato’ Wan Amin Hafiz bin Wan Mahmud TUDM dan Komander MALBATT 850-9, Kolonel Megat Maz Ardi bin Nohuddin.

Sesungguhnya, penglibatan ATM dan ABDB melalui kontinjen MALBATT akan terus meletakkan ATM khususnya sebaris dengan angkatan tentera luar yang turut beroperasi di bawah misi pengaman UNIFIL terutamanya di sektor barat Lubnan. Ia sekaligus membuktikan pengiktirafan berterusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap ATM serta menunjukkan keupayaaan ATM dalam melaksanakan misi-misi pengaman di peringkat antarabangsa.

Sumber : Angkatan Tentera Malaysia