Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KUANTAN, 21 Februari 2022 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah mengakhiri siri lawatan kerja rasmi ke Pangkalan-pangkalan, Skuadron dan unit di Pangkalan Udara Kuantan dan Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT) hari ini.

Lawatan rasmi ini juga disertai isteri Panglima Tentera Udara iaitu Puan Sri Norainy binti Shahar Alam selaku Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Udara (JTBU). Panglima Wilayah Udara 1 (PANGWILUD 1), Mej Jen Dato' Zahani bin Zainal Abidin TUDM bersama-sama Pemangku Komander Pangkalan, Kol Zulkefli bin Hj Samsu Hadi TUDM dan isteri, Puan Faesneza binti Mohd Zain sebagai Pemangku Pengerusi BAKAT Udara PU Kuantan serta kumpulan Eksekutif Pangkalan menyambut ketibaan Panglima Tentera Udara dan delegasi di Pergerakan Udara.

Sebaik tiba di Pangkalan Udara Kuantan, Panglima Tentera Udara dan delegasi menaiki helicopter EC 725 AP bagi memulakan lawatan ke Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT).

Ketibaan beliau serta delegasi telah disambut oleh Pegawai Memerintah SLTT, Lt Kol Jafridin bin Bahari TUDM dan pegawai eksekutif SLTT. PTU telah menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan kuarter serta membuat saringan suhu badan sebagai 'Standard Operating Procedure' (SOP) langkah pencegahan Covid-19 bersama delegasi yang turut serta.

PTU dan delegasi telah melawat ke Skn 322 dan diberi taklimat tentang pengoperasian skuadron. Beliau meluangkan masa menyantuni warga SLTT dan Skuadron 322, bertemu dan memberikan nasihat serta kata-kata semangat.

Mengakhiri lawatan kerja rasmi di SLTT, PTU serta delegasi memperuntukkan masa bersama warga SLTT berpangkat Koperal Udara ke bawah di Dewan Sajian Ahli Udara serta bersama-sama makan tengah hari sebelum berlepas pulang ke PU Kuantan bagi meneruskan rangka lawatan rasmi beliau.

Setelah itu, Panglima Tentera Udara telah meneruskan lawatan kerja rasmi ke Markas Wilayah Udara 1 (MAWILUD 1) dan melihat perkembangan pengoperasian MAWILUD 1 serta turut meluangkan masa mengadakan sesi dialog bersama para pegawai dan anggota LLP.

Seterusnya, di No. 17 Skuadron, Panglima Tentera Udara telah diberi taklimat ringkas berkenaan sejarah pengoperasian pesawat pejuang MiG-29 dan meneruskan sesi lawatan melihat sudut galeri berkaitan pesawat berkenaan.

Beliau turut disajikan dengan melihat gambar-gambar kenangan pesawat serta juruterbang pesawat bagi mengimbau kembali kenangan beliau sebagai salah seorang juruterbang pesawat pejuang MiG-29 suatu ketika dahulu.

Di dalam rangka lawatan kerja ini juga, Panglima Tentera Udara melawat ke Blok Bujang Cawangan Operasi, Bomba dan juga Blok Bujang INSPRA bagi meninjau keadaan bangunan dan infrastruktur dalam proses penambahbaikan yang sedang dijalankan di blok penginapan anggota bujang LLP. Projek penambahbaikan ini adalah bagi memberikan keselesaan kepada para penghuninya.

Turut serta mengiringi Panglima Tentera Udara adalah Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Dato' Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Asisten Ketua Staf Materiel, Mej Jen Dato' Zainal bin Abdul Manaf TUDM; Mantan Asisten Ketua Staf Kejuruteraan, Mej Jen Dato' Ir Razip bin A. Samad TUDM; Ketua Pengarah Sekretariat, Brig Jen Dato' Hanafiah bin Hj Abdul Manaf TUDM; Ketua Staf Operasi, Brig Jen Dato' Abdul Halim bin Abu Hassan TUDM; Panglima Rejimen TUDM, Brig Jen Meor Ahmad Kamal bin Hj Meor Termizi TUDM; Komander AWC, Kol Ahmad Edros bin Ahmad Osman TUDM serta Pegawai-pegawai Kanan TUDM.

Sumber : Tentera Udara Diraja Malaysia