Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KUALA MUDA, 17 Februari 2022 – Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain telah mengadakan lawatan kebajikan terhadap ibu kepada staf Panglima Tentera Darat yang telah meninggal dunia, Allahyarham Koperal Muhammad Hakimi bin Mohamad Khir pada hari ini.

Ibu Allahyarham Koperal Muhammad Hakimi bin Mohamad Khir iaitu Maneh binti Awang, 62 telah menghidapi penyakit strok yang mengakibatkan bahagian belah kanan badan tidak dapat berfungsi dengan baik. Beliau kini mendapatkan rawatan susulan serta ubat-ubatan di Hospital Sungai Petani dan Hospital Kepala Batas.

Ibu Allahyarham anggota yang telah disantuni oleh Tan Sri PTD telah menerima sumbangan berbentuk hamper, sumbangan peribadi serta sumbangan Tabung Kebajikan Tentera Darat bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka.

Siri lawatan kebajikan sebegini adalah bertepatan dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD iaitu "Pelestarian Kesejahteraan Warga". Lawatan kebajikan ini akan terus dilaksanakan bertujuan memantau kebajikan warga Tentera Darat Malaysia agar sentiasa terjamin.

Sumber : Tentera Darat Malaysia