Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

SINGAPURA, 16 Februari 2022 – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM telah hadir ke Upacara Penganugerahan Darjah bagi menerima anugerah ketenteraan tertinggi Singapura, iaitu Darjah Utama Bakti Cemerlang (Tentera) yang disampaikan oleh Presiden Singapura, Mdm Halimah Yacob bertempat di Istana Singapura, hari ini.

Penganugerahan ini adalah bagi mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam aspek pengukuhan hubungan diplomasi pertahanan antara kedua-dua Angkatan Tentera Malaysia dengan Singapura yang terus berkembang dari masa ke masa menerusi kepelbagaian aktiviti latihan ketenteraan dua hala seperti Eksesais Malapura, Eksesais SEMANGAT BERSATU, dan Eksesais SAREX MALSING disamping beberapa perlaksanaan program lawatan peringkat tinggi, program tukaran pegawai dan penganjuran kursus kepakaran.

Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera telah menerima Kawalan Kehormatan Utama di Kementerian Pertahanan Singapura sebelum mengadakan sesi kunjungan hormat ke atas rakan sejawat beliau iaitu Lieutenant-General Melvyn Ong, Chief of Defence Force, Singapore Armed Forces dan seterusnya kunjungan hormat ke atas Menteri Pertahanan Singapura iaitu Dr Ng Eng Hen. Kunjungan ini adalah bertujuan untuk memperkukuh hubungan pertahanan dua hala yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Singapura di samping membincangkan kerjasama dalam mendepani cabaran keselamatan bersama di rantau ini.

Usai penerimaan anugerah tersebut, Panglima Angkatan Tentera telah mengadakan Kunjungan Hormat ke atas Perdana Menteri Singapura, Mr Lee Hsien Loong di Istana Singapura bagi mengesahkan lagi hubungan pertahanan yang kukuh serta melahirkan komitmen yang tinggi terhadap usaha dalam mempertingkatkan lagi kerjasama pertahanan dua hala.

Dalam rangka program beliau di Singapura, Panglima Angkatan Tentera turut berkesempatan mengunjungi beberapa booth pameran pertahanan yang diadakan bersempena Pertunjukan Udara Singapura 2022 yang berlangsung di Pusat Pameran Changi.

Turut bersama beliau dalam menghadiri Upacara Penganugerahan Darjah tersebut adalah Isteri merangkap Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Hajjah Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah.

Sumber : Angkatan Tentera Malaysia