Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KUALA LUMPUR, 15 Februari 2022 - Majlis Penyampaian Sayap Penerbangan bagi Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 62/21 (Siri Khas) telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM di Eagle Nest, Markas Tentera Udara.

Majlis yang dikoordinasi oleh Kolej Tentera Udara bersama Institut Penerbangan 2 (INSPEN 2), Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara serta Sekretariat Markas Tentera Udara dilaksanakan secara norma baharu berikutan endemik Covid-19 dan tanpa kehadiran keluarga pelatih.

Kursus Asas Penerbangan Helikopter atau Basic Helicopter Flying Course (BHFC) Siri 62/21 merupakan siri khas kerana hanya terdiri daripada perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kursus ini merupakan fasa asas penerbangan untuk pelatih helikopter yang telah berjaya dilaksanakan di INSPEN 2, Kolej Tentera Udara, Alor Setar, Kedah. Kursus siri khas ini bermula dengan seramai lapan orang pelatih yang terdiri daripada empat pegawai TDM dan empat pegawai TLDM. Kesemua pelatih telah berjaya menamatkan Kursus Ilmu Penerbangan Asas (KIPA) di INSPEN 1 kemudian meneruskan Kursus Asas Penerbangan Helikopter di INSPEN 2 mulai 4 Januari 2021 menggunakan pesawat Eurocopter EC 120B Colibri.

Setelah mengharungi segala cabaran dan rintangan selama 1 tahun 2 bulan, tujuh pelatih telah berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang pada 26 Januari 2022 dan melayakkan mereka untuk dianugerahkan sayap penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ketujuh-tujuh pelatih Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 62/21 (Siri Khas) ialah:

1. Kapten Dzariq Iskandar bin Dzafrul Akhtar
2. Kapten Muhammad Farris Syaza bin Zamri
3. Kapten Mohd Amirul Asyraf Firdaus bin Mohd Azmi
4. Kapten Tan Eu Jing
5. Leftenan Mohd Nur Amin bin Saleh TLDM
6. Leftenan Mohamad Hanafie bin Mohd Yasir TLDM
7. Leftenan Mohamad Taufik bin Mokhtar TLDM

Kapten Muhammad Farris Syaza bin Zamri telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelatih Penerbangan Helikopter Terbaik. Anak kelahiran dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam mengendalikan pesawat EC 120 B di sepanjang latihan dan menepati kriteria untuk melayakkan beliau menerima “Piala Nuri”.

Manakala Anugerah Pelatih Akademik Terbaik pula disandang oleh Leftenan Mohamad Hanafie bin Mohd Yasir TLDM. Berasal dari Muar, Johor, beliau dianugerahkan “Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara” berdasarkan pencapaian keputusan terbaik dalam bidang akademik serta atas sikap gigih serta dedikasi yang dipamerkan sepanjang latihan.

Turut hadir di majlis tersebut Panglima Bantuan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mejar Jeneral Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Komandan Kolej Tentera Udara, Brigedier Jeneral Ramli bin Mohd Abd Jabar TUDM; Pegawai Memerintah INSPEN 2, Mejar Khairul Anuar bin Addeli TUDM serta pegawai-pegawai kanan TUDM. Pengarah PUTD, Brigedier Jeneral Yazid bin Yusuf dan Ketua Staf Markas Udara TLDM, Kepten Ruzman bin Mat TLDM masing-masing mewakili TDM dan TLDM.

Sumber : Tentera Laut Diraja Malaysia