Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

SHAH ALAM, 14 Februari 2022 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM, hari ini menyempurnakan pelancaran Coffee Table Book “A-4PTM Skyhawk Chronicle” bertempat di Mes Wira Angkasa (MWA), Pangkalan Udara Subang.

Coffee Table Book ‘‘A-4PTM Skyhawk Chronicle’’ ini mula dikarang pada sekitar bulan April 2020 oleh penulisnya iaitu Mejar Mohd Halim bin Aziz TUDM (Bersara) atau lebih dikenali dengan call sign “JBON”.

Beliau pernah berkhidmat di Skuadron Skyhawk bermula pada tahun 1988. Beliau telah merekodkan 1188 jam penerbangan bersama pesawat A-4PTM Skyhawk sebagai juruterbang dan jurulatih penerbangan.

Tujuan utama penerbitan coffee table book ini adalah untuk merakamkan pengalaman, kenangan serta pencapaian gemilang pesawat pejuang A-4PTM Skyhawk sepanjang 13 tahun pengoperasiannya di dalam TUDM.

Kandungan buku ini telah disusun dengan rapi untuk membawa pembaca mengimbas kenangan dari mula pengoperasian pesawat bermula tahun 1984 sehingga diberhentikan pengoperasian sepenuhnya pada tahun 1997.

Panglima Tentera Udara di dalam ucapan perasmian, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kumpulan penulis yang diketuai oleh Mejar Jeneral Dato’ Pahlawan Felix Gonsalves a/l Alexander TUDM (Bersara) selaku Ketua Editor di atas usaha gigih serta komitmen tinggi sehingga terhasilnya sebuah ‘‘coffee table book’’ berdasarkan rentetan sejarah dan pengalaman alumni pesawat berkenaan (juruterbang, jurutera dan juruteknik) serta warga TUDM.

Beliau juga turut menzahirkan rasa bertuah dan bersyukur kerana beliau juga menjadi salah seorang daripada alumni penerbang pesawat A-4PTM Skyhawk.

Beliau menyatakan inisiatif bagi mewujudkan coffee table book ini terbit dari tujuan utamanya iaitu bagi mendokumentasikan sejarah, kenangan dan pengalaman hidup sepanjang berkhidmat bersama pesawat A-4PTM Skyhawk khusus kepada semua termasuk generasi akan datang walaupun pesawat ini hanya berada di dalam perkhidmatan TUDM selama 13 tahun, namun, ianya telah meninggalkan kesan yang sangat signifikan kepada TUDM.

Dengan ketumbukan sebanyak 40 buah dan merupakan pesawat tempur yang berupaya pada masa itu, ianya telah memainkan peranan yang sangat penting terhadap keselamatan, keamanan dan kedaulatan negara.

Selain itu, ianya turut menyumbang kepada pembangunan sumber manusia TUDM melalui penglibatan dalam operasi, latihan dan eksesais. Pengalaman yang tidak ternilai ini menjadi penanda aras kepada juruterbang-juruterbang TUDM dalam pengoperasian pesawat pejuang generasi baru.

Di pelancaran coffee table book ini juga turut diberikan penghormatan dan senaskah buku ialah alumni pesawat A-4PTM Skyhawk antaranya ialah:

1. Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM yang pernah menjawat pelbagai jawatan di Skuadron Skyhawk mulai 1985 hingga 1993 serta mencatatkan jumlah rekod penerbangan 1,100 jam.
2. Mantan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Nik Ismail bin Nik Mohamed TUDM (Bersara) yang merupakan mantan Pegawai Memerintah No. 6 Skuadron pada 1987 hingga 1988 dan Pegawai Memerintah No. 9 Skuadron dari tahun 1988 hingga 1990.
3. Kolonel Ahmad Ridzwan Salleh TUDM (Bersara) yang merupakan antara pioneer dan Pegawai Memerintah No. 6 Skuadron dari tahun 1985 hingga 1987.
4. Kolonel Mohd Alwi Abdul Wahab TUDM (Bersara) yang merupakan “Project Test Pilot” dan Pegawai Memerintah No. 6 Skuadron mulai tahun 1989 hingga 1990.
5. Kolonel Dato’ Selamat Bakin TUDM (Bersara), seorang Pegawai Kejuruteraan Skyhawk yang juga merupakan “Project Test Engineer”.
6. Leftenan Kolonel Looi Kiat Hin TUDM (Bersara) iaitu Pegawai Memerintah No. 6 Skuadron dari tahun 1990 Hingga 1992.
7. Kolonel Ramly bin Ajir TUDM (Bersara) iaitu “Senior EO ASF kuantan dari tahun 1990 hingga 1992.
8. Kapten Eric Charles Manuel TUDM (Bersara) yang merupakan “Armament Officer” di PU Kuantan pada tahun 1984 hingga 1988. Beliau adalah antara pegawai yang bertanggungjawab dalam mendirikan A-4PTM Skyhawk Technical School di PU Kuantan pada tahun 1985.
9. Pegawai Waren Udara I K. Kulasingam (Bersara) yang merupakan pioneer Skyhawk dan seorang “Armourer” dari tahun 1984 hingga 1995.
10. Lans Koperal Huthama Pithiran Suppiah iaitu seorang “Engine Man” di Skuadron Skyhawk.

Beliau telah berkhidmat bersama Skyhawk dari tahun 1985 hingga 1990 sebelum bertukar kerjaya ke Malaysia Airlines. Beliau juga antara yang banyak menyumbang kepada penerbitan buku ini kerana telah berkongsi banyak koleksi peribadi beliau.

Turut bersama menyaksikan pelancaran buku ialah Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM; Mantan Panglima Tentera Udara,Tan Sri Nik Ismail bin Nik Mohamed TUDM (Bersara); Panglima Bantuan Udara, Lt Jen Dato’ Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; pegawai-pegawai kanan TUDM serta mengumpulkan alumni pesawat A-4PTM Skyhawk yang menjadikan majlis ini turut berlangsung dengan suasana penuh nostalgia.

Sumber : Tentera Udara Diraja Malaysia