Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

BUTTERWORTH, 10 Februari 2022 - Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Seri Hishammuddin Hussein telah melakukan lawatan kerja bagi menyaksikan 4 buah Helikopter Leonardo AW 139 yang diperolehi secara sewaan untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bertempat di Pangkalan Udara (PU) Butterworth.

Perolehan Helikopter AW 139 secara sewaan ini adalah untuk meningkatkan lagi kesiagaan dan keupayaan ATM. Selain itu, ia merupakan kehendak serta keperluan end user sendiri iaitu TUDM bagi mengukuhkan usaha mempertahan kedaulatan ruang udara negara.

Sewaan Helikopter AW 139 ini dilaksanakan bagi menampung penugasan Helikopter NURI yang telah tamat operasi. Selain itu, ia juga bagi memastikan Aircraft Hours, kos operasi dan senggaraan Helikopter EC725AP lebih efektif serta mengekalkan kompetensi anak kapal Helikopter NURI.

Helikopter AW 139 yang akan ditempatkan di No.3 Skuadron, PU Butterworth ini turut berkeupayaan melaksanakan peranan dan tugas utiliti fleet helikopter TUDM serta mampu dioperasi pada waktu siang dan malam.

Menteri Kanan Pertahanan juga turut melawat Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di PU ini yang telah dan akan dinaiktaraf. RKMAT sedia ada di seluruh negara akan dinaiktaraf demi menambahbaik keselesaan dan keselamatan anggota serta ahli keluarga mereka memandangkan keluasan RKMAT sedia ada iaitu 850 kaki persegi sudah tidak lagi menepati kelayakan semasa iaitu 1100 kaki.

Susulan cadangan beliau dahulu, sebanyak 288 unit RKMAT akan digabungkan menjadi 144 unit sekaligus menjadikan keluasan baharu ialah 1700 kaki persegi. Daripada jumlah 144 unit ini, 60 unit telah pun siap menerusi 3 fasa. Manakala fasa 4 pula akan bakal dimulakan dalam masa terdekat dimana ia akan melibatkan 168 unit asal yang akan digabungkan menjadi 84 unit.

Turut serta, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YB Dato’ Sri Muez bin Abdul Aziz; Panglima Tentera Udara, YBhg. Jeneral Tan Sri Ackbal bin Hj. Abdul Samad TUDM serta pegawai-pegawai kanan Awam dan tentera Kementerian Pertahanan.