Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

SUBANG, 11 Februari 2022 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah membuat lawatan rasmi ke Pangkalan Udara Subang. Lawatan rasmi ini turut disertai isteri Panglima Tentera Udara iaitu Puan Sri Norainy binti Shahar Alam merangkap Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Udara (JTBU).

Ketibaan Panglima Tentera Udara dan delegasi di Masjid Pangkalan telah disambut oleh Komander Pangkalan, Brig Jen Omar bin Hj Dawami TUDM dan kumpulan eksekutif pangkalan serta isteri, Puan Normah binti Ismail selaku Pengerusi BAKAT Udara PU Subang.

Sebaik tiba di PU Subang, Panglima Tentera Udara telah menyempurnakan Perasmian Pusat Kaunseling Islam Al-Ghazali (PKIA) PU Subang. PKIA merupakan projek perintis dalam memberi perkhidmatan Kaunseling keluarga Islam berasaskan pendekatan kaunseling Al-Ghazali kepada warga ATM amnya dan TUDM khususnya. Acara perasmian PKIA ini disempurnakan dengan simbolik menandatangani plak oleh Panglima Tentera Udara.

Panglima Tentera Udara bersama deligasi kemudiannya meneruskan lawatan ke No. 20 Skuadron. Ketibaan Panglima Tentera Udara disambut oleh Pegawai Memerintah No. 20 Skuadron, Lt Kol Faizul Hussien bin Dato’ Ismail TUDM serta diberikan taklimat berkenaan pengoperasian skuadron. Beliau melawat ke Flight Training Device (FTD) bagi melihat sendiri cara pengoperasiannya. Panglima Tentera Udara turut meluangkan masa bertemu anak kapal dan menyempurnakan Penyampaian Sijil Kepujian kepada tiga (3) anggota AQM PU Subang sebagai tanda penghargaan. Sijil Kepujian tersebut telah dianugerahkan kepada PW U II Hanif bin Abd Fatah dari No. 16 Skn, PW U II Mohd Osman bin Sareh dari No. 20 Skn dan FSjn Wahiyudin bin Wahid juga dari No. 20 Skn di atas dedikasi dan komitmen kerja yang dicurahkan.

Lawatan diteruskan ke No. 16 Skuadron dan disambut oleh Pegawai Memerintah No. 16 Skuadron, Lt Kol Mohamad Zaini bin Zainorin TUDM. Panglima Tentera Udara telah mendengar taklimat ringkas serta perkembangan semasa skuadron dan aset. Beliau turut membuat lawatan ke Structural Corrosion Inspection Program (SCIP) dalam meninjau kesiagaan aset.

Dalam masa yang sama, lawatan kebajikan JTBU dilaksanakan oleh Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Udara, Puan Sri Norainy binti Shahar Alam. Puan Sri Norainy dan delegasi dibawa melawat hasil kraftangan di Rumah BAKAT Udara PU Subang. Puan Sri Norainy seterusnya menyampaikan sumbangan kebajikan kepada enam (6) ahli BAKAT Udara.

Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak diharap dapat membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung dan sebagai tanda keprihatinan serta sokongan moral kepada mereka yang diuji selari dengan teras utama kewujudan BAKAT iaitu mengutamakan kebajikan keluarga.

Mengakhiri lawatan di PU Subang, Panglima Tentera Udara dan delegasi telah melawat ke Institut Perubatan Penerbangan (IPP). Penghormatan dan sejarah dicipta buat IPP apabila Panglima Tentera Udara menyempurnakan perasmian "Krueger Rehabilitation Clinic". Dengan adanya Krueger Rehabilitation Clinic ini, ianya akan menyediakan kemudahan rawatan dan sebagai pusat rehabilitasi khususnya bagi juruterbang dan anak kapal TUDM.

Lawatan Kerja PTU ke PU Subang adalah antara siri lawatan kerja rasmi beliau khususnya dalam mengekalkan kesiagaan pangkalan, mengetahui dan membantu pangkalan mengatasi cabaran berkaitan pengoperasian pangkalan dan skuadron. PU Subang menjadi antara pangkalan yang menjadi tumpuan utama. Lawatan kerja ini juga membuktikan fokus dan hala tuju pucuk pimpinan tertinggi TUDM di dalam memastikan pembangunan keupayaan TUDM sentiasa menjadi keutamaan, diperkasakan dan sentiasa berfungsi sepertimana visi dan misi TUDM.

Turut serta mengiringi Panglima Tentera Udara adalah Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato’ Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM; Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan, Mej Jen Dato' Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM; Asisten Ketua Staf Tadbir, Brig Jen Hj Baharudin bin Hj Abu Hassan TUDM serta pegawai-pegawai kanan TUDM yang turut disertai isteri bagi lawatan BAKAT Udara.

Sumber : Tentera Udara Diraja Malaysia