Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KUALA LUMPUR, 8 Februari 2022 – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PETRONAS telah mengukuhkan lagi kerjasama antara dua agensi melalui Majlis Menandatangani Terma Rujukan Helideck Landing Training On Offshore Facilities (HLTOF) di Wisma Perwira ATM.

Majlis menandatangani terma rujukan berkenaan yang disempurnakan oleh Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (KS ATM), Lt Jen Datuk Mohd Zakaria bin Hj Yadi, mewakili ATM dan Pengurus Kanan Tadbir Urus Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran, Pengurusan Petroleum Malaysia, Encik Azrul bin Abdul Hamid mewakili Petronas, merupakan kerjasama dari aspek pelaksanaan latihan pendaratan helikopter ATM di pelantar minyak milik Petronas.

Kebolehoperasian helikopter ATM dalam melaksanakan latihan pendaratan di pelantar minyak berkenaan dapat mempertingkatkan keupayaan ATM untuk memantau dan mengawal keselamatan perairan negara di samping meningkatkan keupayaan dalam pelaksanaan Operasi Maritim, Medevac, Casevac, Search And Rescue dan Maritime Air Surveillance.

Pada tahun 2013 lagi, pihak Petronas telah bersetuju dengan cadangan ATM bagi penggunaan tapak pendaratan helikopter berkenaan dan telah membenarkan pesawat ATM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk melaksanakan latihan pendaratan di atas Pelantar Minyak Siwa yang berstatus Mothball. Latihan pendaratan tersebut telah dilaksanakan pada 2014 dan berakhir pada 2016.

Pada 2021, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Carigali Sdn Bhd dalam Kunjungan Hormatnya ke atas Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan telah mencadangkan agar latihan pendaratan tersebut disambung semula. Lanjutan daripada cadangan tersebut, ATM telah diberikan mandat untuk menyemak dan menambah baik terma rujukan latihan pendaratan tersebut bersama-sama dengan pihak Petronas.

Turut hadir di dalam majlis ini adalah Asisten Ketua Staf Operasi Dan Latihan Pertahanan, Leftenan Jeneral Dato’ Hashim Bin Aman Shah, Pegawai Kanan ATM, APMM, Kementerian Pertahanan Malaysia serta delegasi dari Petronas.

 Sumber : Markas Angkatan Tentera Malaysia