Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KOTA KINABALU, 28 Januari 2022 - Hari ini memahat sejarah baharu bagi Tentera Laut Diraja Malaysia setelah kapal misi pesisir keempat TLDM iaitu Kapal Diraja RENCONG telah ditauliahkan secara rasmi dengan penuh tradisi tentera laut.

Upacara ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Yang Berbahagia Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany di Tambatan Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Dalam upacara tersebut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza telah membacakan Perintah Pentauliahan dan kemudian memakaikan insignia Pegawai Memerintah kepada Komander Khairuddin bin Ahmad @ Hassan TLDM, Pegawai Memerintah pertama KD RENCONG.

Sebagai rekod, KD RENCONG mula dibina di Wuhan, China pada 19 September 2019 dan seterusnya dilancarkan ke permukaan air pada 16 Disember 2021. Pada 18 Disember 2021, upacara penamaan dan penyerahan fizikal kapal telah dilaksanakan manakala kapal telah belayar pulang sejauh 1811 batu nautika ke tanah air pada 21 Disember 2021 dan selamat tiba 28 Disember 2021.

KD RENCONG yang dianggotai 7 Pegawai dan 40 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) akan menyertai kapal terdahulu iaitu KD KERIS, KD SUNDANG, KD BADIK dalam Skuadron LMS ke-11 TLDM dan bernaung di bawah Markas Pemerintahan Armada Timur bagi mengukuhkan lagi kedaulatan maritim negara, terutamanya di perairan Malaysia Timur.

 

Sumber : Markas Pemerintahan Armada Timur