Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KUALA LUMPUR, 28 Januari 2022 - Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato' Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz telah merasmikan Majlis Perasmian Wisma Bintara ATM bertempat di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

Wisma Bintara ATM ini berperanan sebagai organisasi yang menyediakan kemudahan penginapan, sajian, riadah, sosial dan perkhidmatan hospitaliti kepada Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) ATM yang berkhidmat di Kementerian Pertahanan (KEMENTAH).

Projek pembangunan Wisma Bintara ATM ini adalah di bawah program “Corporate Social Responsibility” (CSR) LTAT yang telah menyumbang sebanyak RM 30 juta bagi projek ini.

Wisma ini juga mampu menyediakan keselesaaan kepada anggota-anggota tentera dengan 200 bilik penginapan yang selesa serta turut dilengkapi pelbagai kemudahan dan peralatan moden.

Dengan siapnya pembinaan Wisma Bintara ATM ini mampu meningkatkan moral serta menjadi pemangkin yang akan melonjakkan profesionalisme dan keperkasaan ATM sebagai benteng utama pertahanan negara.

Selain itu, projek ini menjadi sebahagian daripada komitmen Kementerian Pertahanan dan ATM dalam menjaga kebajikan warganya seiring dengan Pelan Tindakan 2022 (PT 22) serta teras ketiga Pelan Strategik Mindef (PSM) yang menekankan pelestarian kesejahteraan warga kerja pertahanan.

Ia juga memenuhi aspirasi kerajaan yang menekankan konsep “Keluarga Malaysia”.

Pihak Kementerian Pertahanan komited dalam menyokong dan membantu menyelesaikan permasalahan, khususnya hal ehwal kebajikan anggota dengan pendekatan berhemah serta berdasarkan keutamaan.

Turut hadir dalam majlis adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YB Dato’ Sri Muez bin Abdul Aziz; Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), General Tan Sri Raja Mohamed bin Affandi bin Raja Mohamed Noor; Pengerusi Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM), Tan Sri Dato’ Sri Zulkifeli bin Mohd Zin; Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan dan Panglima - Panglima Perkhidmatan serta pegawai-pegawai kanan Awam dan ATM.