Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KUALA LUMPUR, 24 Januari 2022 - Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM telah menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2022 di Auditorium Kementerian Pertahanan, hari ini.

Melalui amanat beliau yang disiarkan secara langsung di formasi-formasi setiap perkhidmatan ATM, beliau telah menekankan beberapa perkara yang meliputi rumusan tahun 2021 dan keutamaan bagi tahun 2022.

Sepanjang tahun 2021, ATM telah meletakkan sepenuh usaha dalam menangani ancaman pandemik COVID-19 dan yang paling signifikan adalah aturgerak hospital medan ketika sistem kesihatan negara hampir lumpuh serta kelancaran program vaksinasi kebangsaan sehingga membolehkan inisiatif Program Pemulihan Negara dapat direalisasikan. Tahun 2021 juga menyaksikan kesiapsiagan yang tinggi apabila ATM menjadi responden terawal bagi menyelamatkan mangsa banjir dan khidmat ini diteruskan dengan membantu melaksanakan pembersihan kawasan serta baik pulih kediaman yang musnah akibat bencana tersebut.

‘’Semua perkara yang telah dilakukan ini adalah usaha kita bersama. Setiap dari anda memainkan peranan dengan baik dalam memastikan pelaksanaan operasi ketenteraan selain peperangan atau Military Operation Other Than War (MOOTW) dapat dioptimumkan dengan efisiyen dan efektif’’ ujar beliau.

Disebalik tumpuan terhadap memenuhi tugas-tugas sekunder ini, ATM tetap meneruskan tugas utamanya bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara dilindungi dari sebarang ancaman musuh, di samping perancangan pelan pembangunan angkatan terus diperkasakan dalam memastikan Angkatan Masa Hadapan yang seimbang (balance force) dapat dimaktubkan. Ini menyaksikan beberapa aset ketenteraan telah dimasukkan dalam inventori ATM bagi tahun 2021 dengan perolehan aset-aset ini dibuat secara tersusun dan berperingkat bagi mengoptimumkan peruntukan kewangan yang terhad yang diterima setiap tahun.

Tahun 2021 juga, ATM turut memberi penekanan terhadap kebajikan warga terutamanya dalam usaha memastikan setiap warga ATM bersedia bagi menjalani kehidupan setelah bersara kelak. Perkara yang sama turut diberikan perhatian kepada para Veteran ATM melalui peranan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dengan beberapa inisiatif baharu telah diusahakan bagi membantu menambahbaik kualiti hidup para Veteran ATM.

Beliau juga menyatakan banyak kejayaan  yang dicapai sepanjang tahun 2021 dan rakyat kini menunjukkan kepercayaan yang tinggi untuk bergantung harap terhadap keupayaan ATM. “Mereka yakin bahawa khidmat yang diberikan oleh anggota tentera bukan sahaja berkesan, malah ianya lebih dari itu kerana anggota tentera sanggup berkorban apa sahaja demi kepentingan negara. Keadaan ini merupakan suatu indikator penting buat kita kerana ianya membuktikan bahawa segala khidmat bakti yang telah dicurahkan selama ini tidaklah disia-siakan begitu sahaja. Sekali lagi, syabas saya ucapkan kepada anda semua!’’. Ujar beliau lagi.

Menyingkap amanat bagi tahun 2022 ini juga, beliau turut optimis bahawa tahun ini akan menjadi tahun pemulihan buat semua di mana segala usaha untuk memastikan tradisi dan legasi terdahulu dapat diteruskan setelah tergendala akibat ketidaktentuan yang dibawa oleh pandemik COVID-19.

Menjadi keutamaan pertama bagi tahun 2022 ini adalah untuk meneruskan 4 teras sepertimana yang termaktub dalam Perintah Ulung beliau iaitu Memperkasakan Kesiagaan Aset ATM, Memperkasa Warga ATM Yang Cemerlang, Mengukuhkan Keupayaan ATM dalam Domain Siber dan Menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan. Teras-teras ini harus dijadikan sebagai panduan strategik dalam merealisasikan hasrat menjadikan Angkatan Tentera Malaysia sebagai sebuah angkatan berspektrum penuh yang holistik dan mampan.

Keutamaan kedua adalah memastikan pengurusan peruntukan kewangan yang diterima dibelanjakan dengan sebijak-bijaknya melalui perbelanjaan yang berhemah agar peruntukan yang diberikan dapat dibelanjakan secara holistik serta berdasarkan  keperluan sebenar yang diigini.

Keutamaan ketiga yang ditekankan adalah dokumen Strategi Ketenteraan Negara 2.0 dan 4DMAF dapat dilancarkan pada tahun ini. Kedua-dua dokumen ini haruslah difahami kerana ianya akan menjadi rujukan utama dalam meneruskan agenda pembangunan angkatan sepertimana yang telah dihasratkan di dalam Kertas Putih Pertahanan.

“Dalam menjayakan ketiga-tiga keutamaan ini, kita semua tidak boleh lagi mengamalkan business as usual. Dengan peralihan kepada fasa endemik dan juga ancaman persekitaran geostrategik global dan serantau yang semakin kompleks serta ancaman Bukan Kinetik yang boleh berlaku pada sebilang masa, kita harus bersikap lebih realistik untuk terus bergerak kehadapan. Cara kita berfikir dan cara kita melihat kepada sesuatu perkara atau keperluan perlu diubah bagi memastikan kehendak situasi semasa dapat dipenuhi’’ tegas beliau lagi.

Dalam pada itu beliau turut mengaskan kan kepentingan memastikan struktur rantaian pemerintahan diperkasa sewajarnya dan di masa yang sama segala Rancangan Kontigensi (RANKON) sedia ada harus diperkemaskini dan difahami agar ATM dapat memberikan respon yang cepat dan tepat apabila keadaan memerlukan. Disamping itu, operasi-operasi kawalan dan pemantauan di sempadan darat dan lautan negara, sama ada yang sedang dilaksanakan oleh perkhidmatan mahupun di bawah koordinasi National Task Force wajar diberikan keutamaan berterusan.

Di akhir penyampaian amanat, beliau menyatakan agar semua peringkat dapat bermuhasabah diri dalam setiap perkara yang telah dilakukan sepanjang tahun 2021 yang lalu agar dapat meneruskan tahun 2022 ini dengan lebih baik di samping menunaikan tanggungjawab menjaga hubungan dengan Sang Pencipta (Hablum Min Allah) dan juga hubungan sesama manusia (Hablum Minan Nas) pada setiap masa.