Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

JELEBU, 20 Januari 2022 - Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja (MK RAJD) Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan berjaya menyiapkan jambatan Compact Bailey Single Lane (CB 200) yang menyeberangi Sungai Triang, bagi menggantikan jambatan asal yang runtuh akibat banjir baru-baru ini.

Jambatan sementara tersebut yang menghubungkan Kampung Bemban dengan Kampung Jerang pada awalnya dijangka siap pada 20 Januari 2022, namun berkat usaha kerjasama yang gigih daripada TDM dan JKR telah berjaya menyiapkannya sehari lebih awal daripada jangkaan yang mana diisytiharkan siap sepenuhnya oleh JKR pada jam 5 petang, 19 Januari 2022.

Jambatan sementara tersebut bakal dimanfaatkan oleh penduduk di kawasan terbabit setelah hampir sebulan lebih terputus laluan perhubungan di antara kedua-dua kampung berkenaan.

Usaha murni ini juga seiring dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu, “Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam”, yang memberikan penumpuan kepada aspek pembentukan keyakinan dan pengiktirafan rakyat kepada TDM.

 

Sumber : Tentera Darat Malaysia