Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

JELEBU, 17 Januari 2022 - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengatur gerak sebuah pesawat Helikopter EC 725 AP dari No. 10 Skuadron bagi membantu menghantar bekalan bahan api ke menara telekomunikasi Telekom Malaysia (TM) Gunung Telapak Burok.

Bencana alam yang melanda baru-baru ini telah mengakibatkan tanah runtuh di beberapa kawasan dan menyebabkan laluan darat untuk menaiki ke kawasan tersebut telah terputus hubungan.

Walaupun dengan keadaan cuaca dan angin yang tidak menentu, operasi selama 2 hari yang diketuai oleh Pegawai Memerintah No 10 Skuadron, Lt Kol Muhammad Fazri bin Md Zin TUDM telah berjaya melaksanakan 13 sortie penerbangan dengan menghantar sebanyak 41,600 kg bekalan bahan api ke menara telekomunikasi tersebut.

Penghantaran udara yang dilaksanakan oleh TUDM ini adalah usahasama di antara Majlis Keselamatan Negara, Platun Hantaran Udara 10 Briged PARA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Telekom Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Komander Pesawat; Mej Mohd Asrul bin Junid TUDM, Mej Muhammad Uwais bin Md Zain TUDM, Mej Mohd Noor Khairul bin Kamarudin TUDM, Mej Mohd Rafiq bin Rahmad TUDM, Mej Muhamad Hijaz bin Kamarudin TUDM, Kapt Rozaini bin Abd Mutalib TUDM bersama tiga (3) orang Pembantu Juruterbang, enam (6) orang Kuartermaster Udara, tiga (3) orang anggota juruteknik dan empat (4) orang anggota PASKAU ini telah melaksanakan penerbangan ke SK Sri Pantai terlebih dahulu iaitu LP dan Pickup Point bagi tempat pengumpulan bahan api.

Seramai enam belas (16) anggota TM, enam (6) anggota Platun Hantaran Udara 10 Briged dan tujuh (7) anggota Bomba telah dihantar menggunakan kaedah hoisting ke puncak Gunung Telapak Burok sebagai kumpulan awal bagi penerimaan bahan api tersebut.

Penghantaran setiap bahan api tersebut telah dilaksanakan menggunakan kaedah “cargo sling” ke puncak gunung tersebut yang berketinggian 3,780 kaki dari aras laut.

Sebagai organisasi di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut terlibat sebagai barisan hadapan, TUDM sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dan bersiap sedia sebilang masa untuk melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang perlu.

TUDM juga turut mendukung usaha kerajaan bagi memastikan negara dan masyarakat sentiasa dalam keadaan selamat serta sejahtera.

Penghargaan dan syabas kepada anak kapal No. 10 Skuadron, agensi-agensi kerajaan serta NGO yang terlibat dan juga bahagian kejuruteraan serta unit-unit sokongan No. 10 Skuadron yang telah memastikan keadaan pesawat sentiasa berada di tahap kesiapsiagaan yang tinggi untuk melaksanakan sebarang misi.