Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KUALA LUMPUR, 19 Januari 2022 – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM telah menyempurnakan penyerahan sumbangan bantuan untuk di salurkan kepada warga ATM yang terjejas banjir bertempat di Ruang Perkasa, Wisma Pertahanan.

Bantuan ini yang merupakan inisiatif Panglima Angkatan Tentera dengan kerjasama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh warga ATM yang terjejas banjir baru-baru ini.

Sumbangan barangan elektrik tersebut berupa 500 unit peti sejuk, 550 unit cerek elektrik, 410 unit periuk nasi elektrik dan 400 unit dapur dua burner ini juga merupakan antara barangan peralatan asas utama yang diperlukan selain bantuan yang telah disumbangkan oleh Kerajaan United Arab Emirates (UAE) dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) ATM serta bantuan kewangan dari Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).

Majlis penyerahan sumbangan pada hari ini telah disampaikan secara simbolik oleh Panglima Angkatan Tentera kepada Panglima-Panglima Perkhidmatan iaitu Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zamrose bin Mohd Zain; Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sani dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM untuk disalurkan kepada 236 mangsa banjir warga ATM di sekitar Lembah Klang yang terdiri daripada 97 keluarga warga TDM, 27 keluarga warga TLDM dan 58 keluarga warga TUDM.

Disamping itu, seramai 54 keluarga warga ATM yang bertugas di Markas Angkatan Tentera Malaysia juga turut menerima sumbangan bantuan tersebut yang telah disampaikan kepada Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria bin Hj Yadi.

Secara keseluruhan, seramai 1,207 warga ATM yang terjejas banjir telah direkodkan terdiri daripada 1,061 keluarga dan 146 anggota bujang. Sehingga kini, TKAT juga telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM 1,134,000.00 kepada semua mereka yang terkesan akibat banjir.


Sumber : Markas Angkatan Tentera Malaysia