Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

SABAH, 13 Januari 2022 - Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Seri Hishammuddin Hussein telah menyaksikan penerimaan empat (4) buah Littoral Mission Ship (LMS) yang juga merupakan aset terbaharu milik TLDM di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu.

Jika sebelum ini TLDM telah menerima dan mentauliahkan 3 LMS iaitu Kapal Diraja (KD) Keris, KD Sundang dan KD Badik, kini TLDM telah menerima aset mereka yang terbaharu iaitu LMS 4 yang dinamakan RENCONG.

RENCONG bakal melalui satu lagi detik bersejarah yang mana ia akan menerima pentaulihan pada 28 Januari 2022.

Sebaik sahaja ditauliahkan, RENCONG bakal dikenali sebagai KD RENCONG seterusnya akan menyertai Skuadron LMS Ke-11 yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Menteri Kanan Pertahanan yang sedang mengadakan lawatan kerja selama 2 hari ke Sabah akan memberi tumpuan kepada 3 perkara iaitu Penerimaan Kapal Littoral Mission Ship (LMS), OPERASI MURNI (OPS MURNI) Sabah serta Agenda Keselamatan dan Pertahanan Sabah.

Bagi Op Murni Negeri Sabah, kesiapsiagaan ATM untuk meneruskan kerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sabah serta setiap agensi berkepentingan menerusi Operasi Murni (OPS MURNI) Negeri Sabah akan terus berada pada tahap tertinggi.

Anggota Tentera Darat Malaysia telah diatugerak bukan sahaja untuk membantu memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat terutama Pusat Pemindahan Sementara (PPS), tetapi juga menghantar barang keperluan dan makanan serta membantu penyediaan makanan di PPS sejak hari pertama banjir melanda beberapa kawasan di Sabah.

385 anggota bersama 50 aset daripada Briged Kelima Infantri Malaysia bagi kawasan Pantai Barat Sabah dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia bagi kawasan Pantai Timur Sabah sedang diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga untuk diaturgerak pada bila-bila masa di negeri Sabah pada ketika ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato' Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz serta pegawai-pegawai kanan awam dan tentera Kementerian Pertahanan.