Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

GEMAS, 10 Januari 2022 – Bencana banjir besar yang melanda Zon Tengah tanah air pada 18 Disember 2021 yang lalu, turut memberikan kesan kepada warga Tentera Darat Malaysia (TDM) di sekitar Negeri Sembilan.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain telah melaksanakan lawatan kebajikan kepada warga TDM yang terkesan akibat musibah banjir di Negeri Sembilan.

Ketibaan Tan Sri PTD telah disambut oleh Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div), Mejar Jeneral Dato' Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim dan Panglima Briged Pertama Infantri Malaysia (1 Briged), Brigedier Jeneral Mohd Saifulisham bin Hj Baharun.

Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat Op MURNI Negeri Sembilan oleh Panglima 1 Briged bertempat di Bilik Rehat, Pavilion Rejimen Ke-51 Artileri Diraja (51 RAD) sebelum bergerak ke acara seterusnya.

Menzahirkan keprihatinan, Tan Sri turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Banjir bertempat di Auditorium, Pusat Olah Perang Tentera Darat (POP TD), Gemas hari ini.

Seramai 50 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang terkesan akibat bencana banjir tersebut menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan barang keperluan asas harian dan peralatan kerohanian.

Tan Sri PTD di dalam ucapannya, TDM amat menitikberatkan kebajikan warganya dan akan terus berusaha menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan mengikut kemampuan yang dimiliki.

Tan Sri PTD juga menyeru kepada seluruh warga TDM agar sentiasa berwaspada dan sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga semasa musim banjir ini. Ucapan penghargaan juga diberikan kepada semua anggota TDM yang meneruskan tugas Op MURNI walaupun ada dikalangan anggota ditimpa musibah banjir.

Kebajikan warga TDM terus dicakna, seiring dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu "Pelestarian Kesejahteraan Warga" yang turut menekankan kepada peningkatan kualiti hidup, keperluan kebajikan dan kesejahteraan warga anggota dan juga veteran TDM.