Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

GUA MUSANG, 10 Januari 2022 - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengatur gerak sebuah pesawat Helikopter EC725 AP dari No. 10 Skuadron bagi membantu menghantar bekalan makanan ke beberapa kawasan perkampungan orang asli di daerah Gua Musang, Kelantan.

Sebanyak 13,896 kg bekalan makanan terdiri daripada beras, minyak masak, sardin, tepung gandum, serbuk kopi, susu, biskut, kicap dan sos cili telah dihantar ke tiga kawasan penempatan orang asli di daerah tersebut iaitu Pos Gob, Pos Simpor dan Kampung Rekom.

Musim tengkujuh yang melanda baru-baru ini telah memberi kesan kepada kehidupan seharian penduduk orang asli apabila bekalan makanan daripada hasil tanaman kebanyakan musnah.

Selain itu, penduduk orang asli ini juga berdepan kesukaran mendapatkan bekalan makanan disebabkan terputus hubungan laluan darat akibat kerosakan jalan yang dilanda banjir.

Penghantaran udara yang dilaksanakan oleh TUDM ini adalah usahasama diantara Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Kelantan dan Terengganu yang menyalurkan sumbangan bantuan bekalan makanan ini.

Operasi yang diketuai oleh Komander Pesawat Mej Mohamad Khairil bin Saaban TUDM bersama Pembantu Juruterbang Kapt Nurul Fadziela binti Mohd Azhar TUDM dan Kuartermaster Udara Sjn U Afendy bin Mat Ya serta 3 orang anggota juruteknik dan 2 orang anggota PASKAU ini telah melaksanakan penerbangan ke Kem Semur terlebih dahulu yang merupakan tempat pengumpulan bantuan dan memuat naik bekalan makanan ke badan pesawat sebelum diterbangkan ke lokasi-lokasi penempatan orang asli tersebut.

Sebagai organisasi di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut terlibat sebagai barisan hadapan, TUDM sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dan bersiap sedia sebilang masa untuk melaksanakan tugas serta amanah yang dipertanggungjawabkan.

TUDM juga turut mendukung usaha kerajaan bagi memastikan negara dan masyarakat sentiasa dalam keadaan selamat serta sejahtera terutamanya dalam tempoh pandemik COVID-19 dan bencana banjir yang telah melanda negara ketika ini.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada anak kapal No. 10 Skuadron, agensi-agensi kerajaan serta NGO yang terlibat dan juga bahagian kejuruteraan serta unit-unit sokongan No. 10 Skuadron yang telah memastikan keadaan pesawat sentiasa berada di tahap kesiapsiagaan yang tinggi untuk melaksanakan sebarang misi.