Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

GONG KEDAK, 5 Januari 2022 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM meneruskan siri lawatan rasmi ke Pangkalan-pangkalan/pusat latihan/Skuadron/unit.

Dalam siri lawatan hari ini beliau meneruskan lawatan rasmi ke Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK). Ketibaan Panglima Tentera Udara dan delegasi telah disambut oleh Komander Pangkalan, Kol Mohd Sani Omar TUDM serta Pegawai Eksekutif Pangkalan.

Sebaik tiba di PUGK, Panglima Tentera Udara telah mengambil Tabik Hormat dan memeriksa Kawalan Kuarter. Beliau seterusnya dibawa melawat ke No. 12 Skuadron serta telah mendengar taklimat berkenaan pengoperasian Pangkalan dan Skuadron.

Menjadi lumrah sebagai Pucuk Pimpinan Tertinggi TUDM, beliau kemudiannya mengambil kesempatan untuk berjumpa dan memberi kata semangat kepada juruterbang-juruterbang serta pelatih No. 12 Skuadron agar sentiasa komited dalam melaksanakan tugas dan operasi yang diamanahkan.

Beliau turut mengingatkan kepada semua berkenaan agar memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing sebagai satu pasukan agar TUDM menjadi satu ketumbukan yang mampan.

Setelah itu, beliau dan rombongan dibawa melawat TS 4 dan telah diberi taklimat berkenaan pengoperasian Pesawat Sukhoi Su-30MKM bersama sistem persenjataan yang digunakan oleh pesawat.

Beliau kemudiannya melawat ke Materiel Udara 3 (MATRA 3). Di MATRA 3, Panglima Tentera Udara telah mendengar taklimat ringkas berkenaan perolehan "Automated Storage and Retrieval Systems" dan pengoperasian Bangunan MATRA 3.

Di akhir lawatan, Panglima Tentera Udara telah dibawa meninjau kawasan sekitar pangkalan dan pengoperasian Skuadron 321.

Beliau turut diberikan taklimat berkenaan pengoperasian Skuadron 321 yang menjadi antara tanggungjawab TUDM untuk memastikan kesiagaan aset TUDM demi menjaga kedaulatan ruang udara negara daripada diceroboh oleh anasir asing.

Turut mengiringi Panglima Tentera Udara di lawatan ini adalah Asisten Ketua Staf Kejuruteraan, Mej Jen Dato' Mohamad Ir Razip bin A. Samad TUDM; Asisten Ketua Staf Materiel, Mej Jen Dato' Zainal bin Abdul Manaf TUDM; Asisten Ketua Staf Tadbir, Brig Jen Dato' Hj Mohd Suhaimi bin Hj Sahri TUDM; Ketua Pengarah Sekretariat, Brig Jen Dato' Hanafiah bin Hj Abdul Manaf TUDM serta Pegawai-pegawai Kanan TUDM.