Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022
IPOH, 4 Januari 2022 - Membuka tirai tahun baru 2022, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah mengadakan lawatan ke Akademi Tentera Udara (ATU) hari ini. Ketibaan PTU bersama deligasi telah disambut oleh Komandan Akademi Tentera Udara, Kol Baharudin bin Abu Hassan TUDM dan kumpulan eksekutif pangkalan. Lawatan yang diadakan ini adalah sempena persaraan beliau tidak lama lagi.
 
Di dalam rangka lawatannya, beliau telah dibawa melawat blok penginapan Perajurit Muda (PjM) Udara bagi melihat infrastruktur penginapan bagi perajurit yang sedang menjalani latihan. Seterusnya beliau telah dibawa melihat Kelab Rekreasi Perajurit Muda yang baru sahaja dinaik taraf.
 
Adalah menjadi satu keperluan bagi sesebuah pusat latihan untuk menyediakan persekitaran serta penginapan yang selesa serta kondusif dalam melahirkan seorang perajurit muda yang berkualiti.
 
Lawatan Panglima Tentera Udara diteruskan lagi dengan melawat Balai Pengawal Hadapan ATU yang baru sahaja siap diubahsuai. Di Balai Pengawal ini beliau telah mendengar taklimat ringkas yang disampaikan berkenaan pengoperasian Skn 223 HANDAU dalam menjaga keselamatan pangkalan.
 
Diakhir lawatan, Panglima Tentera Udara telah dibawa melawat blok Rumah Keluarga Angkatan Tentera Desa Sri Angkasa. Di sini beliau telah merasmikan pos pengawal yang baru siap dibina.
 
Selari dengan Teras Pertama Panglima Tentera Udara ke-19 "Mengutamakan Perbelanjaan Berhemah" iaitu mengutamakan perbelanjaan yang berkaitan isu kebajikan dan moral warga TUDM.
 
Dengan pelaksanaan penambahbaikan infrastruktur, ianya dapat menaikkan moral serta semangat warga TUDM dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik. 
 
Turut hadir mengiringi Panglima Tentera Udara adalah Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Dato' Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Asisten Ketua Staf Kejuruteraan, Mej Jen Dato' Mohamad Ir Razip bin A. Samad TUDM; Asisten Ketua Staf Materiel, Mej Jen Dato' Zainal bin Abdul Manaf TUDM; Asisten Ketua Staf Tadbir, Brig Jen Dato' Hj Mohd Suhaimi bin Hj Sahri TUDM; Ketua Pengarah Sekretariat, Brig Jen Dato' Hanafiah bin Hj Abdul Manaf TUDM serta pegawai-pegawai kanan TUDM.