Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KUANTAN, 4 Januari 2022 - Panglima Angkatan Tentera, YBhg Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM dan isteri Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Hajah Tengku Muhaini binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) ATM meneruskan program penyerahan barangan sumbangan kepada warga ATM yang terjejas banjir.

Sebanyak 320 kotak telah diperuntukkan untuk agihan khusus kepada keluarga warga ATM yang terjejas banjir di sekitar Kuantan.

Penyerahan sumbangan bagi fasa pertama telah dibuat secara ringkas melalui majlis serahan bantuan yang diadakan di Dewan Indera, Desa Tentera Darat Sg. Panching ini melibatkan 75 keluarga warga ATM dari ketiga-tiga perkhidmatan (Tentera Darat, Laut dan Udara) yang bertugas di sekitar Kuantan.

Agihan kotak barangan berupa sumbangan Kerajaan United Arab Emirates (UAE) bagi fasa satu yang terdiri daripada telekung, Al-Quran, hygene set, barang kering dapur, beras dan minyak masak dan 2000 kit solat yang disediakan oleh BAKAT ATM serta wang tunai dan alat cucian sumbangan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) sebelum ini telah diserahkan kepada 13 warga tentera di sekitar Shah Alam, Klang dan Hulu Langat pada 1 Januari lalu.

Mengambil kesempatan majlis, YAM Tengku Muhaini yang juga selaku Penasihat Diraja Badan Amal Kasih Sayang Malaysia (BAKASA) diwakili oleh YM Tengku Dato' Sri Uzir bin Tengku Ubaidillah, Yang Dipertua BAKASA turut menyampaikan agihan sebanyak 500 kotak barangan sumbangan badan amal tersebut di samping barangan sumbangan Kerajaan UAE dan BAKAT ATM sendiri kepada Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato' Nor Asmaliza binti Ku Lah untuk disalurkan kepada masyarakat awam yang terjejas banjir.

Penyerahan awal telah disempurnakan secara bersama oleh YDP BAKASA dan Exco BAKASA kepada seramai 10 keluarga orang awam yang mewakili masyarakat setempat. Seusai majlis, Panglima Angkatan Tentera dan isteri turut meninjau keadaan semasa di sekitar Taman Inderapura, Perumahan Sri Damai dan Taman Bukit Rangin yang terjejas teruk akibat banjir.

Penglibatan BAKAT ATM yang turut sama menyalurkan bantuan merupakan inisiatif YAM Tengku Muhaini yang banyak terlibat dalam kerja-kerja amal di samping melaksanakan peranan dan tanggungjawab sebagai Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM di dalam menjaga hal ehwal kebajikan keluarga warga tentera.

Sumbangan BAKAT kepada masyarakat awam juga sebagai menyahut konsep Keluarga Malaysia dalam menyumbangkan khidmat baktinya kepada mereka yang memerlukan bantuan seiring dengan cogan kata organisasi berkenaan iaitu “Bersama Berbakti”.

Pada 30 Disember lalu, Kerajaan UAE telah menyampaikan bantuan barangan keperluan asasi untuk diagihkan kepada lebih 700 anggota warga tentera yang terkesan banjir.

Simbolik penyampaian sumbangan tersebut telah diadakan di Wisma Perwira ATM yang disampaikan melalui dutanya di Malaysia iaitu H.E. Khalid Ghanim Alghaith kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM dan YAM Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Hajah Tengku Muhaini binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, selaku Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM.

Sesungguhnya ATM amat berterima kasih dengan keprihatinan dan bantuan yang disumbangkan oleh Kerajaan UAE ini dalam membantu mereka yang terkesan dengan bencana banjir terutama kepada warga tentera dan keluarga mereka.

Turut serta dalam program penyerahan bantuan ini adalah YBhg Leftenan Jeneral Dato' Indera Hj Yazid bin Haji Arshad TUDM, Panglima Angkatan Bersama, YBhg Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Haji Ahmad, Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA), YBhg Datin Norhayati binti Usul, Pengerusi BAKAT Gabungan Markas ATM dan YBhg Datin Indera Hjh Nazriah binti Hj Mahmood, Timbalan Pengerusi BAKAT Gabungan Markas ATM serta Pegawai-pegawai Kanan ATM yang lain.

 

Kredit: Angkatan Tentera Malaysia