Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

Hulu Langat, 3 Januari 2022 - Berlanjutan dari kejadian banjir yang melanda negara pada Disember yang lalu, terdapat kira-kira 300 orang terdiri daripada 54 keluarga orang asli Temuan yang tinggal di atas Genting Peras telah terputus hubungan jalan darat kerana kejadian tanah runtuh yang menghalang jalan dan berisiko tinggi untuk dilalui.

Terdapat lebih kurang 20 runtuhan yang berlaku di sekitar Genting Peras iaitu di laluan sebelah Hulu Langat dan Kuala Klawang.

Bantuan awal keperluan makanan asas semasa awal kejadian banjir berlaku telah disalurkan melalui jalan darat oleh para sukarelawan dengan urusan membawa bantuan makanan tersebut dilakukan oleh kumpulan malim gunung.

Berikutan banyak kawasan tanah runtuh, proses membuka laluan oleh jentera berat jentolak oleh pihak JKR agak mengambil masa kerana runtuhan tanah dan batu besar serta lumpur tebal menyelubungi jalan.

Jarak ke perkampungan orang asli Temuan dalam jarak lebih kurang 3.5 km telah terhalang oleh tanah runtuh.

Malim gunung terpaksa berjalan sejauh 3.5 km membawa barang makanan asas termasuk minyak diesel (bagi kegunaan jenerator yang disalurkan oleh penyumbang dan beberapa Badan Bukan Kerajaan atau NGO.

Setiap seorang terpaksa membawa naik dalam anggaran 30kg usungan setiap trip yang mengambil masa lebih kurang dua jam dan mereka perlu melakukan dua atau tiga trip sehari.

Atas dasar keprihatinan TUDM, Markas Pemerintahan Operasi Udara yang diketuai oleh AKS A3 – MPOU, Kolonel Norazman bin Ismail TUDM pada 28 Disember 2021 telah turun ke lokasi dan membuat tinjauan laluan darat ke Genting Peras. Beliau telah berjumpa dengan Puan Norazila, Pegawai JAKOA - Jabatan Kemajuan Orang Asli; Encik Umbuh iaitu Tok Batin Genting Peras; Tuan Shahril iaitu Peg Bomba Hulu Langat dan Tuan Aslanz selaku Ketua Ekspedisi Malim Gunung bagi berbincang tentang bentuk bantuan yang boleh TUDM salurkan bagi memudahkan penghantaran bantuan kepada orang asli yang terjejas di atas Genting Peras.

Di samping itu untuk melihat sendiri keadaan jalan yang tertimbus oleh runtuhan tanah banjir serta membantu menyampaikan dan berkongsi maklumat kepada agensi-agensi awam seperti pihak JPS, Bomba, JKR, TNB dan JAKOA sendiri.

Seterusnya pada 29 Disember 2021, beliau dan anggota MPOU dibantu oleh No. 10 Skn telah membuat tinjauan udara dengan menggunakan helikopter EC725 AP di sekitar kawasan yang terkesan.

Hasil tinjauan udara mendapati terdapat lebih kurang lapan runtuhan tanah besar di laluan Hulu Langat ke Genting Peras dan lebih kurang enam (6) runtuhan tanah yang menutupi jalan di laluan Kuala Klawang ke Genting Peras.

Dari tinjauan udara tersebut di dapati runtuhan terdekat adalah di laluan Kuala Klawang ke Genting Peras iaitu laluan berjalan kaki ke perkampungan hanyalah lebih kurang 1.6 km sahaja jaraknya. Maklumat-maklumat telah disampaikan kepada pihak JKR dan TNB, di mana agensi berkenaan telah membuka laluan melalui jalan Kuala Klawang.

Hasil usaha bersepadu, pada 31 Disember 2021, pihak TNB telah dapat menghidupkan semula janakuasa elektrik kepada penduduk di perkampungan Genting Peras.

Kolaborasi bersepadu dan bantuan logistik demi kesejahteraan rakyat diteruskan oleh TUDM bagi membantu masyarakat yang terkesan dalam bencana banjir dengan dibantu oleh semua pihak dapat melaksanakan bantuan-bantuan yang perlu.