Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

SEGAMAT, 3 Januari 2022 – Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein diiringi oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain telah mengadakan lawatan ke kawasan terjejas banjir di sekitar Daerah Segamat, Johor pada hari ini.

Ketibaan YB Menteri Kanan Pertahanan ke Rejimen Keempat Artileri Diraja (4 RAD), Kem Segamat disambut oleh Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Mejar Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim dan Panglima Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged), Brigedier Jeneral Mohamad Suria bin Mohamad Saad.

Taklimat situasi semasa keadaan di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) 7 Briged dan situasi semasa OP MURNI ATM Negeri Johor telah disampaikan oleh Panglima 7 Briged.

Aturgerak OP MURNI ATM Negeri Johor yang kini siap siaga dalam pelaksanaan adalah melibatkan 6 buah pasukan iaitu Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), Rejimen Kedua Artileri Diraja (2 RAD), Rejimen Keempat Artileri Diraja (4 RAD) dan Rejimen Ke-33 Artileri Diraja (33 RAD) serta penglibatan Rejimen 501 Askar Wataniah (Rej 501 AW).

Keanggotaan keseluruhan trup yang bersiap sedia menghadapi gelombang banjir negeri Johor adalah melibatkan lebih dari 250 anggota Tentera Darat Malaysia.

Menerusi taklimat Op MURNI Negeri Johor yang turut disertai Menteri Besar Johor, YAB Datuk Ir Hasni Mohammad di Kem Segamat pagi ini. YB Menteri Kanan Pertahanan di dalam kenyataannya, menyatakan bahawa pasukan perubatan ATM dari Kor Kesihatan Diraja (KKD) untuk segera mengatur gerak lebih ramai anggota bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi langkah mengawal penularan COVID-19 terutama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) termasuk di Johor ini.

Penglibatan menyeluruh pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia ini cukup penting bukan sahaja demi kesihatan rakyat Johor dan setiap negeri yang dilanda banjir, tetapi juga demi membendung penularan varian Omicron di negara ini.

Di dalam sesi lawatan tersebut, YB Menteri Kanan Pertahanan turut meluangkan masa ke Kampung Spang Loi, Segamat untuk meninjau secara lebih dekat kesan bencana banjir yang melanda di lokaliti itu. Setakat ini 6 daerah di Johor telah dilanda banjir dan Segamat merupakan daerah yang paling terjejas.

Kemudian, lawatan diteruskan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tambang yang menempatkan mangsa-mangsa banjir dari sekitar daerah Segamat.

Tentera Darat Malaysia (TDM) amat menghargai keprihatinan yang ditunjukkan oleh YB Menteri Kanan Pertahanan apabila sanggup ‘turun padang’ untuk meninjau rakyat yang terkesan dengan musibah banjir yang melanda baru-baru ini.

Lawatan sebegini juga sejajar dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu, “Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam”, yang memberikan penumpuan kepada aspek pembentukan keyakinan dan pengiktirafan rakyat kepada TDM.