Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021

DUBAI – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah menghadiri Dubai International Air Chiefs’ Conference (DIACC) dan Dubai Airshow 2021 (DA21) yang berlangsung pada 13 hingga 18 November 2021.

Beliau turut diiringi oleh Panglima Wilayah Udara 1, Mejar Jeneral Dato’ Zahani bin Zainal Abidin TUDM dan Pembantu Ketenteraan, Kolonel Ahmad Khusairi bin Ahmad Fadli TUDM.

Turut membantu sepanjang keberadaan Panglima Tentera Udara di Dubai ialah Atase Pertahanan Malaysia di Abu Dhabi, Kolonel Romainor bin Mohamed dan Penolong Atase Pertahanan, Mejar Hishamudin bin Md Tahir TUDM.

Dubai International Air Chiefs’ Conference Ke-10 (10th DIACC) telah diadakan pada 13 November 2021 di Madinat Jumeirah Conference Centre. DIACC yang bermula pada kira-kira jam 8.30 pagi telah dihadiri Panglima Tentera Udara, Ketua Turus Tentera Udara dan wakil daripada lebih 60 negara yang mengesahkan kehadiran termasuk Malaysia.

Persidangan ini menjadi platform besar yang menghimpunkan komuniti kuasa udara secara global termasuk daripada rakan-rakan kongsi industri pertahanan.

DIACC kali ini memfokuskan kepada topik “The Expanding Role of Air, Space and Cyberspace in Multi Domain Operation” yang menjurus kepada wawasan masa hadapan ke arah usaha bersepadu dan membina kesalingbergantungan dalam pelbagai domain operasi (Multi-Domain Operations-MDO) meliputi ruang udara, angkasa dan siber.

Pada persidangan tiga (3) sesi dibincangkan dengan topik “Information Dominance: Employing an All-Domain Operational Strategy; ” “Joint All-Domain Command and Control: Building an Agile and Resilient Combat Network’ dan “Synchronizing Combat Effects: Connecting Sensors and Platforms”.

Jeneral Tan Sri Ackbal TUDM turut meluangkan masa di DIACC bertemu rakan sejawatan, berkongsi pandangan dan pengalaman masing-masing di samping mengeratkan hubungan bilateral dan diplomasi pertahanan yang telah sedia terjalin.

DIACC dianjurkan di bawah naungan Yang Mulia Sheikh Mohammad bin Rashid Al Maktoum iaitu Naib Presiden, Perdana Menteri dan Pemerintah Dubai dan dihoskan oleh UAE Air Force and Air Defense.

Pembukaan Dubai Airshow 2021 (DAS21) telah berlangsung pada 14 November 2021 di Pusat Pameran Al Maktoum, Dubai World Centre (DWC) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum.

DAS21 dianjurkan oleh Tarsus F&E LLC Middle East merupakan pameran terbesar yang melibatkan penyertaan lebih 20 pavilion, 371 syarikat pempamer baharu dan pameran statik serta pertunjukan udara melibatkan lebih 160 pesawat komersial, tentera dan persendirian.

Panglima Tentera Udara turut mengadakan kunjungan hormat dan perjumpaan bersama Yang Mulia Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden, Perdana Menteri dan Pemerintah Dubai. Jeneral Tan Sri Ackbal TUDM turut membuat perjumpaan dan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatan dan dalam mengeratkan hubungan kerjasama bilateral iaitu di antaranya ialah Major General Staff Pilot Ibrahim Nasser Al Alawi, Commander of the UAE Air Force and Air Defence (UAE AFAD); Leftenan Jeneral Ingo Gerhartz, Panglima Tentera Udara Jerman; Jeneral Izutsu Shunji, Chief of Staff, Japan Air Self Defense Force (JASDF) dan Ms. Seybolt, US Undersecretary for International Affairs.

Beliau turut melawat ruang (booth) pempamer dari syarikat industri pertahanan di Pusat Pameran Al Maktoum, DWC.

Pada hari seterusnya, Panglima Tentera Udara telah mengunjungi Pavilion Malaysia di Ekspo Dubai 2020.

Beliau turut menemui wakil dari syarikat industri pertahanan Malaysia yang turut menyertai pameran antarabangsa kali ini.

DIACC ke-10 dan Dubai Airshow yang berlangsung sehingga 18 November 2021 menjadi platform yang terbaik bagi Jeneral Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM selaku Panglima Tentera Udara untuk mendapatkan ruang dan peluang bagi usaha-usaha memperkasakan TUDM khususnya dari aspek kerjasama bilateral, perkongsian perspektif dan hala tuju sebuah angkatan udara yang kredibel serta pemerkasaan aset dan teknologi ketenteraan.