Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021

SUBANG, 12 Sep 21 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)  telah melaksanakan tanggungjawab sosial bagi bantuan logistik penghantaran barangan ke Sabah.

Penghantaran udara melalui penerbangan “logistic communication” melibatkan sebuah pesawat angkut C130 H telah berlepas dari Pangkalan Udara Subang ke Kota Kinabalu pada jam 12.00 tengah hari yang membawa barang-barang sumbangan kebajikan daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM berupa bantuan bekalan makanan asas.


Antara barangan makanan asas yang dibawa adalah makanan asas seperti beras, bihun, minyak masak, tepung gandum, gula dan biskut dan makanan dalam tin sebanyak 480 kotak dengan anggaran berat keseluruhan 5 tan.


Penghantaran barang bantuan ini berlanjutan daripada inisiatif Program Gerobok Rezeki Veteran ATM iaitu hasil usaha JHEV ATM khususnya dan Kementerian Pertahanan amnya dengan kerjasama Program Bantu-Bantu Malaysia oleh Country Height Group & Golden Horse Investment Bank. Secara tidak langsung sumbangan ini adalah menyokong program Mindef Prihatin yang telah dilancarkan pada 27 Ogos 2021 untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan terutama warga veteran ATM dan keluarga dari golongan B40 serta mereka yang terjejas pendapatan akibat pandemik covid 19 termasuk veteran ATM di Sabah dan Sarawak. Menerusi penghantaran barang bantuan yang dilaksanakan oleh penerbangan oleh TUDM ini, sumbangan tersebut akan diagihkan oleh JHEV Negeri Sabah kepada veteran ATM di sekitar Sabah.


Penerbangan  turut membawa peralatan daripada MERCY Malaysia berupa Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) sebanyak 50 kotak dengan anggaran berat keseluruhan 500 kg yang dihantar untuk kegunaan fasiliti kesihatan dan hospital di Sabah. Urusan memuat naik barangan ke badan pesawat bermula pada jam 11.00 pagi oleh anggota TUDM dari Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang serta loadmaster pesawat C130 H.


Pesawat telah dikendalikan oleh Juruterbang, Mejar Aiman bin Mohd Akbar TUDM dan Kapten Mohammad Amirul bin Mohd Deran TUDM dibantu oleh Kapten Mohd Fuad bin Mohd Nazir TUDM selaku pembantu juruterbang serta Jurumalim, Kapt Mohd Adreen Nujjaid bin Mohd Khairul Nizam TUDM dan Jurutera Penerbangan, Mejar Nik Hasri bin Nik Leh TUDM. Anak kapal lain turut terlibat adalah dua (2) orang loadmaster iaitu FSjn Mohd Firdaus bin Abd Rashid dan Sjn U Mohd Hanif bin Hashim.


Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua petugas termasuk anak kapal No. 20 Skuadron, anggota TUDM Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang dan anggota TUDM Cabang Pergerakan Udara, Pusat Kawalan Lalu Lintas Bersama (PUKALUB) yang sentiasa bersiapsiaga melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan serta semua pihak yang terlibat dalam usaha memastikan semua proses berjalan lancar. TUDM juga turut mendukung usaha dan kerjasama bersepadu semua pihak yang menyalurkan bantuan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara sentiasa diutamakan.

 

Kredit: Tentera Udara Diraja Malaysia