Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021

KUALA LUMPUR, 7 September 2021 – Ketua Setiausaha, YBhg. Dato’ Sri Muez Bin Abd Aziz telah menyempurnakan majlis perasmian “National Webinar On Defence Science and Technology 2021” yang bertemakan “Strategic Engagement in Defence Research and Innovation Towards Sustainable Development”.

Webinar ini dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE) yang berlangsung selama 2 hari bermula hari ini sehingga 8 September 2021, di aplikasi zoom.

Antara objektif webinar ini adalah untuk mengetengahkan peranan dan tanggungjawab STRIDE kepada pemegang taruh, pelanggan serta rakan strategik, berkongsi kepakaran dan pengetahuan dalam bidang teknologi pertahanan terkini dan akan datang. Selain itu, ia juga menggariskan keperluan industri pertahanan ke arah berdikari semasa dan akan datang.

Ketua Setiausaha dalam ucapannya berkata, webinar ini merupakan suatu inisiatif Kementerian Pertahanan melalui STRIDE untuk mengumpul kesemua pemacu-pemacu utama sektor Sains dan Teknologi yang terdiri daripada para penggubal polisi, ahli-ahli akademik, para saintis dan penyelidik, pihak pengguna serta rakan industri daripada pelbagai agensi pertahanan dan keselamatan kerajaan mahupun swasta.

“Pengenalpastian dan pelaksanaan program dan aktiviti Sains dan Teknologi (S&T) khususnya R&D secara langsung dan tidak langsung pastinya dapat membantu meningkatkan keupayaan industri pertahanan untuk kekal berdaya saing dan dinamik,” katanya lagi.

Beliau juga memaklumkan bahawa Kementerian Pertahanan akan terus menyokong sebarang bentuk usaha bagi memajukan sektor Sains dan Teknologi Pertahanan Negara melalui peruntukan dana penyelidikan serta menggalakkan aktiviti pemerkasaan Sains dan Teknologi pertahanan seperti yang telah dilaksanakan sekarang.

Turut serta dalam sesi ini, Panglima Tentera Darat, YBhg. Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Bin Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, YBhg. Laksamana Tan Sri Mohd Reza Bin Mohd Sany, Ketua Pengarah STRIDE, Yang Berusaha Dr, Mohd Yazid Bin Ahmad dan juga pegawai-pegawai Kanan Kementerian dan ATM.