Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021

KUALA LUMPUR, 23 Julai 2021 – Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain dan Puan Sri Datin Zainuriah binti Haji Mustapha berkesempatan meluangkan masa untuk menyantuni anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan waris di pasukan 74 Batalion Kor Perkhidmatan Diraja (74 Bn KPD), Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur yang mengalami keuzuran.

Ziarah Kebajikan ini turut diiringi oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan dan isteri, Datin Hartiah bte Hamzah.

Ziarah dimulakan dengan Tan Sri PTD menyantuni Lans Koperal Nor Syuhaidah binti Salim yang mengalami kemalangan jalan raya pada 10 Jun 2018. Kejadian berlaku apabila sebuah teksi dari arah belakang telah melanggar motorsikal yang ditunggang oleh anggota tersebut.

Lans Koperal Nor Syuhaidah mengalami pendarahan dalaman yang serius dan kecederaan parah di bahagian kepala, patah pada kedua belah rahang, rabun mata kiri, masalah saraf tangan, pendengaran dan bahu kiri. Kini, beliau menjalani temujanji akhir bersama Pegawai Psikologi HAT Tuanku Mizan bagi menilai peratus kecekapan untuk dokumentasi Lembaga Perubatan sebelum beliau menjalani CT Scan dan Magnetic Resonance Imaging (MRI).

Lans Koperal Nor Syuhaidah perlu menjalani pembedahan bagi mencuci bahagian dalam telinga kiri.

Dalam ziarah tersebut, Tan Sri PTD turut menyempurnakan pemakaian pangkat Koperal kepada beliau. Tahniah Koperal Nor Syuhaidah binti Salim di atas pengurniaan pangkat tersebut.

Tan Sri PTD kemudian meneruskan ziarah kebajikan dengan menyantuni anak kepada Sarjan Md Hairuddin bin Md Salleh. Beliau telah berkahwin bersama Puan Nur Idayu binti Nordin dan dikurniakan dua orang cahaya mata. Salah seorang anak beliau, iaitu Adik Nur Dahlia binti Md Hairuddin yang berusia 4 tahun 9 bulan telah disahkan menghidapi penyakit Down Sydrome, Hypothyroidism, Jantung Berlubang, Bengkak Hati dan Limpa selepas dilahirkan disebabkan Kanser Sel Darah Putih (Acute Myeloid Leukemia (AML).

Sehingga 20 Januari 2021, Adik Nur Dahlia masih menjalani rawatan dan bergantung kepada ubat-ubatan serta pemeriksaan pemantauan sel darah putih untuk mengelakkan masalah jantung, hati, limpa yang membengkak. Kini, adik Nur Dahlia akan meneruskan rawatan susulan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak.

Tan Sri PTD mengakhiri lawatan kebajikan dengan menyantuni anak kepada pasangan Koperal Roshaslan bin Mohamad Nor dan Puan Armi Yatul Nor Atikah binti Ariffin. Anak beliau, Adik Nur Lydia Qistina binti Roshaslan telah dilahirkan pramatang (8 bulan) pada 13 Jun 2014. Masalah kesihatan anak beliau telah dikenalpasti oleh pihak Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan sejak berumur setahun iaitu mempunyai penyakit bengkak urat saraf pada tapak tangan bahagian kiri.

Adik Nur Lydia Qistina menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian sehingga tahun 2017 sebelum membuat pertukaran ke Hospital Selayang bagi memudahkan urusan rawatan anak beliau. Perkembangan kesihatan adik Nur Lydia Qistina dalam keadaan baik. Kini, beliau masih perlu menjalani rawatan berkala di Hospital Selayang bagi memantau keadaan semasa penyakit yang dihadapinya.

Setiap waris dan anggota yang disantuni oleh Tan Sri PTD turut menerima sumbangan berbentuk hamper, sumbangan peribadi dan juga sumbangan Tabung Kebajikan Tentera Darat bagi meringankan beban yang ditanggung mereka. Ziarah dilaksanakan dengan ringkas dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Siri lawatan kebajikan sebegini bersesuaian dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD iaitu "Pelestarian Kesejahteraan Warga". Lawatan kebajikan ini akan terus dilaksanakan dengan pematuhan kepada SOP PKP tanpa kompromi bertujuan memantau kebajikan warga Tentera Darat agar sentiasa terjamin lebih-lebih lagi pada era pandemik COVID-19 ini.

Sumber : Tentera Darat Malaysia