Kerjaya ATM Terbuka Kepada Semua
Isnin, 14 November 2011 00:00

JOHOR BAHRU, 13 NOV - Kementerian Pertahanan mengharapkan agar karnival yang dianjurkan ini dapat menarik minat lebih ramai masyarakat berbilang bangsa mengenali dengan lebih jelas fungsi dan tanggungjawab kementerian ini dalam menjaga keamanan negara selain membangkitkan semangat patriotisma dikalangan generasi muda serta  mendedahkan mereka peluang-peluang kerjaya di dalam angkatan tentara.

 

Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, YB Datuk Dr. Abd Latiff Bin Ahmad berkata demikian dalam ucapannya setelah merasmikan Karnival 1 Mindef Siri 4/2011 bertempat di Padang A dan B, Plaza Angsana Johor Bharu baru-baru ini.

 

"Pihak kami berharap agar maklumat ini dapat disebarkan oleh pihak media bagi menarik setiap lapisan masyarakat untuk mengunjungi karnival sepanjang ia dilaksanakan ," ujar beliau.

 

Karnival yang bermula dari 11 Nov hingga 13 Nov 2011 itu bertujuan untuk menarik minat masyarakat umum di negeri Johor untuk bersama-sama mendekati, memahami pelbagai bidang kerjaya yang terdapat di dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta sektor awam Kementerian Pertahanan di samping menyampaikan maklumat mengenai ATM. Selain itu, pelbagai program menarik berbentuk pertunjukan dan demonstrasi ketenteraan, pameran ketenteraan, pemeriksaan kesihatan percuma, pendaftaran bagi memasuki perkhidmatan ATM serta pelbagai program menarik lain turut diadakan dan  boleh disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

 

"Sebagai satu cara untuk menyampaikan maklumat tersebut, maka karnival sebegini diatur  supaya masyarakat dapat mengetahui peranan kementerian ini dengan lebih jelas lagi melalui konsep pameran yang dilaksanakan secara pertunjukkan statik, interaktif, menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan percuma, demontrasi ketenteraan, penganjuran permainan dan persembahan hiburan."

 

YB Datuk Dr. Abd Latiff Bin Ahmad berkata terdapat beberapa negara luar yang boleh dijadikan contoh bahawa keamanan yang telah dicabuli akan mengakibatkan kesusahan dan kesengsaraan rakyatnya. Oleh itu bagi mempastikan keamanan di negara kita kekal makmur, saya menyeru kepada semua untuk kita sama-sama menjaga  negara ini bersama-sama selaras dengan konsep pertahanan menyeluruh (HANRUH).

 

"Oleh itu kementerian ini telah berusaha untuk mewujudkan pasukan askar wataniah di setiap parlimen dengan harapan mereka akan bersama-sama kita mempertahankan negara sekiranya berlaku sebarang ganguan yang tidak diingini," tambah beliau.

 

Berkaitan dengan kebajikan bekas-bekas tentera pula, pelbagai bentuk inisiatif dan sokongan telah diberikan kepada mereka melalui PERHEBAT serta usaha berkaitan telah dilaksanakan oleh pihak kementerian bagi memastikan  kebajikan bekas-bekas tentera ini sentiasa diberi perhatian. Justeru itu semasa membentangkan belanjawan 2012 yang lalu, YAB Menteri Kewangan telah mengumumkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta kepada PERHEBAT untuk pelaksanaan program pembangunan sosio-ekonomi veteran ATM yang tidak berpencen.

 

"Saya berharap masyarakat disekitar johor akan mendapat faedah daripada karnival yang kita adakan ini. Karnival ini juga diharap akan dapat menarik golongan muda  untuk mengetahui dengan lebih jelas kerjaya di dalam angkatan tentera malaysia khususnya," jelas beliau.

 

Karnival tersebut diadakan selama tiga hari dan waktu pameran adalah dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam termasuk persembahan hiburan yang bermula dari jam 8.30 malam hingga 10.30 malam.

Terakhir dikemaskini pada Rabu, 21 Disember 2011 16:27