Pahlawan Challenge 2011 Ada Kelainan
Sabtu, 15 Oktober 2011 00:00

KUALA LUMPUR, 15 Okt 11Jabatan Hal Ehwal Veteran dengan kerjasama Kementerian Pertahanan, Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), dan Yayasan Veteran ATM telah menganjurkan Cabaran Pahlawan 2011 (Pahlawan Challenge 2011). Tema pada tahun ini Negara Gemilang, Pahlawan Dikenang. Hari Pahlawan disambut melalui Rayuan Hari Pahlawan, bermula dari bulan Julai hingga Oktober 2011. Objektif utama adalah untuk meningkatkan dana untuk bekas-bekas askar dan keluarga mereka.

 

Acara yang bermula pada 15hb. Oktober (Sabtu) lalu dilepaskan secara "Flag Off" oleh YB Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Hj. Abd. Latiff Ahmad. Ia berkonsepkan Drive Hunt, peserta akan diminta menyelesaikan pencaraian berdasarkan petunjuk-petunjuk yang akan diberikan oleh urusetia pertandingan.

 

Penganjur turut menyelitkan unsur-unsur Amazing Race di mana peserta perlu melalui beberapa peringkat termasuk peringkat berjalan kaki sambil berusaha mengumpul dana untuk Tabung Rayuan Hari Pahlawan daripada orang awam dengan aktiviti yang peserta anjurkan. Di samping itu, peserta juga akan mendapat beberapa maklumat yang lebih jelas mengenai pengorbanan pahlawan-pahlawan terdahulu terhadap tanahair.

 

Acara yang disertai oleh kira-kira 200 orang yang terdiri daripada 50 kumpulan berkereta, memulakan aktiviti pencarian di Kem Wardieburn, Tugu Peringatan Negara, The Curve sebelum berakhir di muzium berkenaan.

 

Panglima Tentera Udara, YBhg Jen Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud TUDM telah menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Cabaran Pencarian Harta Karun Pahlawan bersempena juga dengan Rayuan Hari Pahlawan 2011 di Muzium Tentera Udara Diraja Malaysia, Sungai Besi.

Terakhir dikemaskini pada Rabu, 19 Oktober 2011 17:16