BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021
Slider

SERIKIN, 23 Februari 2021 – Perolehan aset baharu dalam memperkasakan pertahanan amat diperlukan bagi memastikan pengawasan keselamatan negara dapat dikawal sepenuhnya terutama bagi kawasan yang mempunyai bentuk muka bumi yang sukar seperti di Sarawak-Kalimantan Barat.

Justeru, perolehan aset baharu iaitu pikap, kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), motosikal lasak dan drone menepati keperluan operasi dalam usaha Tentera Darat Malaysia (TDM) memperkasakan penugasan Op BENTENG bersama agensi-agensi keselamatan yang lain di Malaysia Timur.

Semalam, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain telah menyempurnakan Majlis Penyerahan  Aset Op BENTENG kepada Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat bertempat di Padang Motor Cross, Serikin, Sarawak semalam.

Majlis tersebut melibatkan penyerahan aset bagi pelaksanaan Op BENTENG melibatkan All Terrain Vehicle (ATV), Trak 1 Tan GS Cargo dan Motosikal Scrambler 250 cc.

Tan Sri PTD dalam kenyataannya memaklumkan bahawa perancangan ini adalah sejajar dengan pelan Army4nextG TDM, iaitu mengimbangi kekuatan keanggotaan dan aset dua per tiga bagi Semenanjung Malaysia dan satu per tiga bagi Malaysia Timur. Dengan perolehan aset baru ini, ia semestinya akan mampu untuk meningkatkan lagi tahap pelaksanaan operasi kawalan sempadan.

Aset baharu ini juga dapat membantu memudahkan lagi pergerakan anggota yang bertugas dalam Op Benteng dalam melaksanakan operasi dengan lebih berkesan.

Penerimaan aset baharu ini adalah bertepatan dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu “Kelangsungan Misi dan Kesiagaan” yang memberikan penumpuan kepada perolehan dan penyelenggaraan aset-aset bagi memastikan kesiagaan tempur Tentera Darat Malaysia (TDM) berada pada tahap terbaik untuk sebarang atur gerak operasi.

Diharapkan dengan adanya aset-aset baharu ini akan dapat meningkatkan moral anggota yang bertugas di persempadanan sekaligus dapat memastikan negara bebas dibolosi oleh mana-mana yang tidak bertanggungjawab. - Gagah Setia -

Foto : Tentera Darat Malaysia