BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021
Slider

KUALA LUMPUR, 22 Februari 2021 – Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Tentera Malaysia - Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (MATM-BPK) telah menerima Vaksin Comirnaty buatan Pfizer BioNTech COVID-19 fasa pertama bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini.

93 Depot Perubatan dan Pergigian (93 DPP AT), Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan Zainal Abidin telah menjadi pusat pertama yang menerima pengagihan vaksin yang sejumlah 4,680 dos bersamaan dengan 780 vials pada pagi tadi untuk diagihkan kepada 2,340 penerima. Manakala, 94 HAT Terendak dan 96 HAT Lumut akan menerima penghantaran berikutnya pada sebelah petang ini dengan agihan masing-masing berjumlah 2,340 dos.

Untuk rekod, MATM-BPK dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyenaraikan 5 buah fasiliti kesihatan ATM sebagai Pusat Simpanan Vaksin (PSV) yang akan menjadi pusat pengagihan dan juga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu;

  1. 93 Depot Perubatan dan Pergigian ATM (93 DPP AT)
  2. 94 Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak, Melaka (94 HAT)
  3. 96 Hospital Angkatan Tentera, Pangkalan TLDM Lumut, Perak (96 HAT)
  4. Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu, Sabah (HAT WKK)
  5. 801 Rumah Sakit Angkatan Tentera, Kem Penrissen, Kuching, Sarawak (801 RSAT)

Pengagihan vaksin daripada 5 buah PSV ATM kepada 54 buah PPV ATM akan menggunakan aset-aset ATM seperti pesawat TUDM (penerbangan logcomm), helikopter dan kenderaan darat sedia ada.

Aspek keselamatan penjagaan rangkaian sejuk (cold chain management) akan diutamakan bagi memastikan vaksin tidak rosak semasa pengangkutan dan pemindahan kepada PPV sekaligus dapat mengelakkan pembaziran dan kerugian kepada pihak kerajaan.

Diantara kriteria keutamaan penerima vaksin bagi petugas barisan hadapan adalah bergantung kepada ketersediaan PPV berkaitan dengan aset-aset sokongan yang penting seperti Top Loading Fridge (TLF), Coldbox, Carrier Box dan Temperature Data Logger yang telah sempurna dibuat proses Testing and Commissioning (T&C).

Bagi kriteria penerima juga telah dikenalpasti mengikut keutamaan seperti berikut;

  1. Petugas Kesihatan
  2. Anggota ATM yang bertugas di barisan hadapan
  3. Anggota berumur 50 tahun ke atas
  4. Anggota ATM dalam zon merah
  5. Anggota yang bertugas di Pusat Operasi, MK Formasi dan Unit Strategik ATM/MINDEF
  6. Anggota yang terdedah kepada jangkitan kerana faktor bekerja dan berurusan dengan pihak luar (frontdesk)

Secara keseluruhan, ATM bakal menerima sejumlah 84,240 dos dalam enam penghantaran secara berperingkat dalam Fasa 1 melalui 5 PSV ATM. Bagi penghantaran pertama, sejumlah 10,530 dos bakal diterima untuk semua PSV ATM yang akan diberikan kepada 5,265 penerima Kategori Kumpulan Utama (1)  iaitu petugas kesihatan barisan hadapan.

Terdapat lima lagi penghantaran yang bakal diterima secara berperingkat sehingga penghujung bulan Mac 2021 yang mencakupi baki sebanyak 73,710 dos bersamaan dengan 36,855 penerima Kategori Kumpulan Utama (2) iaitu petugas barisan hadapan merangkumi perkhidmatan penting (essential) dan pertahanan.

Diharapkan segala usaha ini dapat dijalankan dengan lancar bagi memastikan semua warga Kementerian dan ATM mendapat suntikan ini dengan kadar segera. LINDUNG DIRI, LINDUNG SEMUA.