BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021
Slider

KOTA KINABALU, 25 Januari 2021 – Setelah hampir seminggu di lautan, Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship) kedua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah selamat tiba di Jeti Pangkalan TLDM Kota Kinabalu semalam.

Kepulangan SUNDANG telah disambut oleh Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Dato’ Sabri bin Zali serta barisan kepimpinan tertinggi TLDM yang berada di sana.

Seramai 45 kru terdiri daripada tujuh pegawai dan 38 anggota telah disambut dengan kawalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat di mana kesemua mereka telah dikuarantin serta merta dan telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang dilaksanakan oleh pihak Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu semalam.

Terdahulu, TLDM telah menerima penyerahan fizikal LMS SUNDANG di Wuchuan Shipbuilding Industry Co Ltd Wucang Port, Qidong, Shanghai, China setelah melepasi beberapa penilaian dan pemeriksaan oleh Jawatankuasa Penerimaan Akhir (JKPA) yang diketuai oleh Kepten Abdullah Hadi Tan Abdullah TLDM pada 14 Januari lalu.

Upacara pentauliahan SUNDANG dijangka akan dilaksanakan pada Februari dan bakal disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Sany.

Kementerian Pertahanan mendoakan agar semua warga SUNDANG dilindungi dan dijauhkan daripada segala wabak dan semoga acara pentauliahan juga dapat berjalan seperti dirancang.

Sekali lagi tahniah kepada semua warga yang terlibat dalam usaha membawa pulang LMS kedua ke Malaysia.

Foto : Markas Pemerintahan Armada Timur