BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021
Slider

RAUB, 23 JANUARI 2021 - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu mungkin ungkapan yang mudah untuk diperkatakan namun disebalik kepahitan hanya mereka yang mengalami akan merasai.

Awal tahun ini, negara telah mengalami perubahan cuaca dan telah mengakibatkan situasi banjir luar biasa terutamanya bagi penduduk di Pantai Timur.

Selain Angkatan Tentera Malaysia, kakitangan awam Kementerian Pertahanan juga telah melaksanakan beberapa inisiatif dan usaha bagi membantu mangsa yang terjejas akibat daripada banjir yang melanda negeri itu sejak beberapa minggu lalu.

Usaha murni ini telah berjaya direalisasikan apabila Misi Sukarelawan Skuad Banjir Kelab Kakitangan Awam Kementerian Pertahanan (KAKEP) telah digerakkan dan selamat tiba di Raub, Pahang petang tadi.

Misi ini adalah merupakan inisiatif kakitangan awam Kementerian yang diselaras bersama pihak KAKEP dan MinDef Bikers Club (MBC) bagi membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir di Pahang.

Seramai 12 petugas telah terlibat bagi membantu menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan seperti bekalan makanan, pakaian, barangan keperluan bayi serta wang tunai.

Penyerahan sumbangan telah diserahkan kepada wakil tempatan yang diadakan di Masjid Raub sebelum ianya diagihkan kepada mangsa-mangsa yang berada di kawasan sekitar.

Diharapkan dengan pemberian sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas dan diharapkan ia dapat membantu meringankan beban mangsa terutamanya dalam situasi yang mencabar kini.

Seluruh warga Kementerian Pertahanan mendoakan agar mereka tabah hadapi ujian ini dan dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala secepat mungkin.

Untuk rekod, acara pelepasan sumbangan ini telah disempurnakan pagi tadi oleh Penaung KAKEP iaitu Ketua Setiausaha, YBhg. Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz disaksikan oleh TKSU Pengurusan, YBrs Puan Mastura bt Ahmad Mustafa dan Pemangku Presiden KAKEP, Encik Mohd Shahrizal bin Mohd Nor.