BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021
Slider

KUALA LUMPUR, 18 Januari 2021 - Menteri Kanan Pertahanan Malaysia, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2021 secara maya kepada warga Kementerian dan ATM di Wisma Pertahanan pagi tadi.

YB Menteri dalam amanatnya memberi penekanan dalam memperkasakan ATM melalui peruntukan belanjawan 2021 yang telah diumumkan oleh kerajaan iaitu sebanyak RM16 Billion dengan peningkatan sebanyak 1.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Lima (5) tema utama diberi penekanan iaitu;
i) Meningkatkan keupayaan dari segi aset dan persenjataan
ii) Memperkasakan penglibatan ATM dalam pelbagai operasi serta mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah
iii) Menjamin kesejahteraan dan kebajikan anggota termasuk veteran ATM
iv) Meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan
v) Memperkukuh jaringan strategik dan huhungan diplomasi terutama dalam negara ASEAN dan antarabangsa.

YB Menteri juga turut berkongsi kejayaan pada tahun lalu antaranya ialah, Kementerian Pertahanan telah memperoleh dan menambah aset baru ATM bagi pemerkasaan operasi, penyelenggaraan aset maritim, pembinaan, baik pulih dan senggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), pembinaan perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR), pengagihan Bayaran Khas Kewangan (BKK) Prihatin Nasional kepada Veteran Tidak Berpencen ATM, pembayaran secara One-Off kepada penerima Pingat Jada Malaysia (PJM) serta telah menyalurkan sumbangan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada penerima yang layak.

Selain itu, ATM juga telah menerajui operasi kawalan sempadan negara di bawah Op Benteng yang dilaksanakan di bawah pasukan National Task Force (NTF) bagi mengekang pencerobohan sempadan negara daripada Pendatang Tanpa Izin (PATI) serta mencegah penularan wabak COVID-19.

Dari segi perancangan belanjawan Kementerian Pertahanan untuk tahun 2021 adalah merangkumi perkara-perkara antaranya pembelian dan perolehan aset baharu, pembinaan kem tentera baharu, pembinaan pos kawalan sempadan baharu, pelaksanaan projek baru bagi RKAT, melaksanakan projek kedua SASaR, memperhebat Program Cakna Veteran ATM, memperluaskan skop Bantuan Kemasukan ke Universiti IPTA dan IPTS terpilih, menaiktaraf Hospital Angkatan Tentera (HAT), mempertingkat hubungan antarabangsa bersama negara serantau dan luar rantau serta melancarkan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN).

YB Menteri juga turut menekankan aspek keselamatan siber dengan menubuhkan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) dan Cyber Defence Operation Centre (CDOC). Keupayaan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan turut diberi penekanan dalam pembangunan keupayaan pembuatan aset dan peralatan termasuk mewujudkan jawatankuasa khas antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Di akhir ucapan, YB Menteri menyeru agar semua pihak berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan amanah yang diberikan dalam memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.