BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021
Slider

KUALA LUMPUR, 15 Januari 2021 - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menerima penyerahan fizikal Littoral Mission Ship (LMS) iaitu SUNDANG di Wuchuan Shipbuilding Industry Co Ltd Wucang Port, Qidong, Shanghai, China.

Jawatankuasa Penerimaan Akhir (JKPA) yang dianggotai seramai tiga orang wakil kerajaan dan diketuai oleh Kepten Abdul Hadi Tan Abdullah TLDM selaku Ketua Projek.

Pasukan Projek LMS TLDM telah melaksanakan pemeriksaan dokumentasi, pemeriksaan fizikal dan turut mengikuti pelayaran demonstrasi keupayaan kapal.

Upacara menandatangani Sijil Penerimaan Akhir dan Sijil Penyerahan Fizikal dijalankan sebagai simbolik kepada kejayaan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) untuk diserahkan kepada Kerajaan Malaysia dan TLDM.

Untuk rekod, SUNDANG mula dibina pada pada 23 Oktober 2018 di Wuchuan Shuangliu Manufacture Base, Wuhan dan seterusnya dilancarkan oleh Puan Sri Rusnah A Rahman isteri kepada bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-20 pada 12 Julai 2019. LMS merupakan salah satu daripada lima kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15to5 TLDM.

SUNDANG dijadualkan belayar ke Malaysia pada minggu ketiga Januari 2021 dan akan ditauliahkan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dalam satu Upacara Pentauliahan yang bakal disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Foto : Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut