BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021
Slider

Raub, 7 Januari 2021 - Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah membuat lawatan kerja ke lokasi pemasangan Jambatan Compact Bailey 200 oleh Tentera Darat di Kampung Lechar, Raub, Pahang, hari ini.

Pembinaan jambatan ini adalah untuk menghubungkan jalan di antara Perumahan Makmur Lechar Jaya dan Perumahan Kos Rendah Kg Lechar dengan Pekan Ulu Dong ke bandar Raub yang telah menjejaskan lebih 300 penduduk di kawasan tersebut.

Sementara itu, ketika sidang media, YB Menteri berkata jambatan yang dibina sepanjang 24 meter dan lebar 7.35m (2 lane) akan mengambil masa pembinaan lebih kurang 8 ke 15 jam yang melibatkan 2 Pegawai dan 31 anggota RAJD dengan menggunakan kren dan excavator.

Sehingga kini, ATM telah membuat persediaan sebanyak 10 buah Jambatan Bailey Bridge terutama di kawasan terjejas akibat banjir yang memerlukan pembinaan jambatan di seluruh Malaysia.

Untuk rekod, Jambatan Compact Bailey 200 adalah jambatan peralatan yang dibekalkan oleh MKN kepada Tentera Darat secara gunasama. Jambatan ini boleh dipasang sementara ataupun kekal dan paling sesuai dipasang bagi membantu dalam bencana alam terutama bagi menghubungkan jalan perhubungan yang terputus.

Turut serta ketika lawatan, Ketua Setiausaha, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain serta pegawai kanan Mindef dan ATM.