BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021
Slider

KUANTAN, 6 Januari 2021 - Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) telah mengaturgerak aset udara dan juga anggota bagi penugasan OP MURNI melibatkan penghantaran bekalan makanan serta barangan keperluan asas ke kawasan-kawasan terjejas banjir di sekitar negeri Pahang yang mana terputus hubungan laluan darat menggunakan helikopter EC 725 AP dari No. 10 Skuadron, Pangkalan Udara Kuantan.

Pada 4 Januari 2021, TUDM mengaturgerak helikopter EC 725 AP yang diketuai oleh Pegawai Memerintah No. 10 Skuadron, Lt Kol Muhammad Fazri bin Md Zin TUDM selaku Ketua Operasi telah berjaya melaksanakan tiga (3) sortie penghantaran bekalan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat seberat 250 kilogram kepada penduduk terjejas banjir di sekitar daerah Kuala Lipis dan Temerloh. Pesawat dikendalikan oleh Mej Baynard Mesyeano a/k Tim’ah TUDM dan dibantu oleh Lt Izwan Shafiq bin Suhaimi TUDM selaku pembantu juruterbang telah melaksanakan penghantaran ke 8 RAMD, SK Budu, SMKA Kuala Lipis dan SK Lubuk Terua. Turut terlibat untuk misi semalam adalah 8 orang anggota terdiri daripada Kuartermaster Udara (QM) dan pasukan Search and Rescue (SAR).

Pada 5 Januari 2021, 10 sortie telah dilaksanakan oleh No. 10 Skuadron yang mana 5 sortie dilaksanakan pada sebelah pagi dan 5 sortie di sebelah petang. Untuk kedua-dua penugasan ini, sebanyak 1,000 kilogram bekalan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat telah dihantar ke lokasi-lokasi yang terjejas iaitu Kem Batu 3, SK Lubuk Terua, SK Lanchang, IKBTN Lanchang, SK Desa Bakti, SK Rantau Panjang, SK Penjom dan SMK Seberang Temerloh.

Bagi penugasan waktu pagi, penerbangan tersebut telah dikendalikan oleh Mej Mohd Asmil Faiq bin Adnan TUDM selaku Komander pesawat; Lt Ahmad Izwan Shafiq bin Suhaimi TUDM selaku pembantu juruterbang dan lapan (8) orang anak kapal lain terdiri daripada QM serta pasukan SAR. Manakala untuk penerbangan pada petang pula telah dikendalikan oleh Mej Mohd Asmil Faiq bin Adnan TUDM dan Mej Mohd Asrul bin Junid TUDM selaku Komander pesawat; Lt Ahmad Izwan Shafiq bin Suhaimi TUDM selaku pembantu juruterbang dan 9 orang anak kapal lain terdiri daripada QM serta pasukan SAR.

Untuk penugasan petang semalam juga, helikopter TUDM berkenaan turut telah melaksanakan 3 penerbangan ihsan melibatkan seorang lelaki dewasa, seorang lelaki warga emas dan dua (2) bayi pasangan kembar. Penerbangan pertama membawa pesakit, Mohd Sayuti bin Md Rajab, 39 tahun yang menghidap sakit jantung. Penerbangan Kedua membawa pesakit Mohd Zain bin Abdul Manan, 77 tahun yang menghidap sakit buah pinggang.

Penerbangan ketiga membawa dua orang bayi pasangan kembar berumur 4 bulan yang mengalami demam panas. Pasangan kembar tersebut adalah Ayfa Zara binti Rosman Hafsam dan Arfan Naufal bin Rosman Hafsam telah diterbangkan dari SMK Teluk Sentang ke SMK Seberang Temerloh. Kesemua pesakit kemudiannya telah dibawa menaiki ambulans ke Hospital Sultan Hj Ahmad Shah Temerloh sebaik mendarat di SMK Seberang Temerloh bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

TUDM yang dalam keadaan siap siaga sebilang masa akan terus komited dalam melaksanakan penugasan OP MURNI bagi mendukung penugasan ATM dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan negara ketika menghadapi bencana alam ini dan dalam masa yang sama mendepani cabaran wabak COVID-19.

 

Kredit : TUDM