BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021
Slider

KUALA LUMPUR, 5 Januari 2021 - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengaturgerak 4,983 pegawai dan anggota dalam operasi menyelamat mangsa banjir di 6 buah negeri menerusi Op Murni.

Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob berkata ATM juga ketika ini telah mengaturgerakkan sebahagian trup dan asetnya di negeri yang terjejas teruk iaitu di negeri Pahang dan Johor.

Sebanyak 14 buah bot dilengkapi OBM, 39 buah kenderaan 3 Ton, 14 buah kenderaan Land Rover dan 4 buah kenderaan 7 Ton telah di aturgerak di kedua-dua negeri ini.

Pada masa yang sama, lebihan anggota dan aset Angkatan Tentera Malaysia yang dirancang juga telah diletakkan lebih awal di setiap daerah dan negeri yang dikenal pasti akan terjejas.

Sehingga kini, situasi banjir telah menjejaskan 6 buah negeri iaitu Johor, Pahang, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Perak yang melibatkan pemindahan mangsa seramai 22,699 di 282 pusat pemindahan.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM serta Panglima- Panglima Perkhidmatan.