BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 24 November 2020 - Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain telah menyertai Mesyuarat Pelbagai Hala PTD Negara-negara ASEAN Ke-21 (21st ASEAN CHIEF OF ARMY MULTILATERAL MEETING / 21st ACAMM) yang dipengerusikan oleh PTD Brunei, Brigedier Jeneral Hj. Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan menerusi sesi sidang video di Pusat Operasi Tentera Darat, Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur.

Mesyuarat ACAMM adalah merupakan sebuah wadah yang menghimpunkan PTD Negara-negara ASEAN dalam satu forum dan penganjurannya pada setiap tahun dilaksanakan secara bergilir, bertujuan untuk berbincang dan berkongsi pengalaman demi mengukuhkan perpaduan dan semangat kerjasama di antara Tentera Darat (TD) Negara ASEAN.

Bertepatan dengan penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia, 21st ACAMM memilih tema perbincangan bertajuk “Perpaduan dan Tindak Balas TD ASEAN dalam Menangani Cabaran Keselamatan Serantau yang Dinamik Berdasarkan Norma-norma Baharu yang Terbentuk dari Penularan Wabak COVID-19”. (Cohesion and Responsive of ASEAN Armies to Address the Dynamic on Regional Security Challenges Following News Norms From COVID19 Pandemic)

Di dalam forum pada kali ini, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain telah membentangkan penglibatan Tentera Darat Malaysia (TDM) membantu menangani penularan wabak COVID-19 di Malaysia. Dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Malaysia, TDM membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan melaksanakan 2 pemeriksaan Sekatan Jalan Raya (SJR), rondaan dan tugas penguatkuasaan secara bersama dengan agensi-agensi lain di kawasan awam bagi membendung rantaian jangkitan di kawasan zon merah supaya tidak menular ke kawasan lain serta memastikan pematuhan kepada arahan PKP.

Selain itu, PTD turut memaklumkan berkenaan pelaksanaan Op BENTENG yang bertujuan mengekang kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PATI) ke Malaysia melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta beberapa lagi agensi penguatkuasaan yang lain. Beliau juga menegaskan kepentingan pelaksanaan FORCE PROTECTION iaitu langkah pencegahan dan keselamatan kepada anggota tentera dalam memelihara keselamatan dan kesihatan diri mereka sendiri dari wabak COVID-19.

PTD juga turut mengusulkan beberapa cadangan bagi memenuhi tujuan dan objektif pelaksanaan 21st ACAMM adalah seperti berikut:

a. Memperkukuhkan kerjasama erat antara Negara-negara ASEAN melalui mesyuarat atau perbincangan video secara maya seiring dengan pematuhan kepada Standard Operating Procedure (SOP) norma baharu COVID-19.

b. Meningkatkan operasi rondaan bagi mengekang sebarang aktiviti rentas sempadan dan penyeludupan yang akan membuka ruang kepada penyebaran wabak COVID-19.

c. Menekankan peranan sekunder TD dalam membantu pihak berkuasa awam memastikan keberkesanan operasi / tugasan yang diarahkan oleh Kerajaan untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19.

d. Meneruskan latihan secara bersama antara Negara-negara ASEAN melalui sidang video.

Di akhir persidangan, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain merakamkan penghargaan kepada PTD Brunei di atas penganjuran persidangan video 21st ACAMM dan juga kepada semua PTD Negara ASEAN di atas kerjasama dan sokongan yang diberikan