BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021
Slider

Kementerian Pertahanan menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan di atas pengumuman peruntukan Belanjawan 2021 yang berjumlah hampir RM16 bilion.

Kementerian Pertahanan akan menerima peruntukan sebanyak RM15.86 bilion iaitu peningkatan sebanyak 1.8 peratus atau RM280 juta berbanding peruntukan tahun 2020 (RM15.58 bilion).

Kenaikan yang ketara adalah peruntukan Belanja Pembangunan (Development Expenditure - DE) yang diterima iaitu sebanyak RM4.50 bilion yang merupakan peningkatan sebanyak RM1.42 bilion atau 46.1 peratus.

Manakala peruntukan bagi Belanja Mengurus (Operating Expenditure – OE) adalah sebanyak RM11.35 bilion, mengalami penurunan sebanyak RM1.14 bilion atau 9.1 peratus. Pengurangan ini adalah disebabkan oleh peningkatan peruntukan yang besar di bawah DE bagi senggaraan dan naik taraf aset-aset utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memastikan kesiagaan sentiasa pada tahap tertinggi.

Belanjawan Kementerian kali ini tertumpu kepada dua fokus utama iaitu peningkatan keupayaan dan kesiapsiagaan ATM dan kebajikan warga ATM dan Veteran:
1. Perolehan aset baharu sebanyak RM1.6 bilion.
2. Penyelengaraan aset utama diperuntukkan sebanyak RM2.3 bilion.
3. Pembinaan hampir 1,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sebanyak RM500 juta.
4. RM105.3 juta diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi menjaga kebajikan Veteran ATM.
5. Program Peningkatan Kemahiran dan Latihan Semula oleh PERHEBAT untuk Veteran berjumlah RM30 juta.
6. Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM300 untuk veteran berpencen dan tidak berpencen.

Belanjawan 2021 juga mengambil kira peranan ATM dalam menangani wabak Covid-19 dan Op Benteng yang melibatkan gerak kerja bersepadu agensi keselamatan dalam mengawal sempadan negara.

Kementerian ini juga akan diberikan sebahagian daripada RM27 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan kepada CyberSecurity untuk meningkatkan kawalan keselamatan siber negara.

Melalui peruntukan yang diterima ini, Kementerian Pertahanan komited untuk terus memperkasakan kekuatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui lima (5) tema utama iaitu:

1. Meningkatkan keupayaan ATM dari segi aset dan persenjataan yang merupakan faktor penting kepada kesiagaan ATM.
2. Memperkasakan penglibatan ATM dalam pelbagai operasi untuk melindungi kepentingan negara serta mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah.
3. Menjamin kesejahteraan dan kebajikan anggota tentera termasuk Veteran ATM.
4. Meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan.
5. Memperkukuhkan jaringan strategik dan hubungan diplomasi terutamanya dalam kalangan negara-negara ASEAN dan di peringkat antarabangsa.

Peningkatan dalam peruntukan yang diterima menunjukkan komitmen tinggi Kerajaan terhadap keutamaan pertahanan negara. Persekitaran keselamatan yang tidak menentu dan ancaman keselamatan bukan tradisional merupakan dua faktor utama yang memerlukan tahap kesiagaan ATM yang tinggi.