BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021
Slider

Kuala Lumpur, 21 Oktober 2020 - Kerajaan telah memutuskan agar pengoperasian Hospital Medan Malaysia (HMM)  di Cox's Bazar, Bangladesh ditamatkan pada tahun ini iaitu setahun lebih awal daripada perancangan sebenar pada Disember 2021.

Penubuhan HMM telah berjaya mencapai objektifnya dan penarikan keluar ini tidak memberi kesan kepada hubungan dua hala antara Malaysia dan Bangladesh serta terhadap imej negara.

Kepulangan petugas perubatan ATM ke tanah air membolehkan pengoperasian penuh Hospital Angkatan Tentera (HAT) di seluruh negara. Pada masa yang sama, mereka dapat diatur gerak dalam negara sebagai sebahagian daripada usaha keseluruhan kerajaan (whole-of-government) untuk menangani penularan pandemik COVID-19 yang ketika ini sedang menunjukkan trend peningkatan semula

Sebagai rekod, Kerajaan telah menubuhkan HMM di Cox’s Bazar, Bangladesh pada November 2017 bagi tujuan misi bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh ekoran konflik di Rakhine, Myanmar.

Misi ini merupakan pelan jangka pendek untuk membantu meringankan beban dan menstabilkan keadaan dalam kem pelarian terutamanya berkaitan aspek kesihatan di kalangan pelarian Rohingya.

Pengoperasian HMM dilaksanakan secara penggiliran dengan kekuatan 56 orang petugas bagi setiap pasukan yang terdiri daripada 20 orang pegawai ATM termasuk lapan orang Pakar Perubatan,30 anggota lain-lain pangkat Kor Kesihatan DiRaja (KKD) serta enam orang jururawat awam.

Sehingga Mac 2020, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menghantar sebanyak lima pasukan perubatan. HMM telah menjadi tumpuan pelarian Rohingya untuk mendapatkan rawatan walaupun ia terletak di luar kawasan.

HMM merupakan satu-satunya hospital medan yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai Hospital Medan Tahap 3 terbaik, terlengkap serta paling dipercayai dan seterusnya menjadi hospital rujukan di daerah berkenaan.

Antara perkhidmatan yang disediakan adalah pembedahan am, ortopedik, obstetrik dan ginekologi, bius, x-ray dan rawatan-rawatan utama lain seperti kesihatan keluarga, kecemasan, pergigian, radiologi serta makmal.

Sepanjang tempoh operasi dari bulan November 2017 hingga Mac 2020, jumlah keseluruhan kehadiran pesakit ke HMM ialah seramai 108,038 orang. Petugas HMM juga telah melaksanakan lebih daripada 3,500 pembedahan termasuk lebih 900 pembedahan berisiko tinggi.

Sebagai anggota komuniti antarabangsa yang bertanggungjawab, Malaysia amat prihatin terhadap krisis kemanusiaan Rohingya dan akan terus memainkan peranan dalam mengetengahkan isu
Rohingya di peringkat serantau dan antarabangsa termasuk melalui platform dua hala dan pelbagai hala, khususnya dalam mencari penyelesaian jangka panjang berhubung isu ini.