BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUANTAN, 12 Oktober 2020 - Majlis Perasmian Pembukaan Eksesais PARADISE (Paradrop, Air Defence, Insertion, Strike, Search and Rescue and Extraction) 7/20 telah disempurnakan oleh Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Haji Mohammad Salleh bin Haji Osman TUDM bertempat di Auditorium Bomba, Pangkalan Udara Kuantan semalam.

Melibatkan elemen TUDM sahaja iaitu ‘Single Service’ tanpa sebarang penglibatan elemen Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), majlis berjalan dengan lancar dan telah disiarkan terus melalui persidangan video (VC) ke Markas Wilayah Udara 2 dan pangkalan-pangkalan udara utama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Meskipun dilaksanakan dalam skala kecil, eksesais ini akan terus menjadi platform terbesar TUDM di dalam menambah baik prosedur dan tahap profesionalisme setiap anggota serta memastikan aset TUDM berada dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi memastikan pertahanan negara sentiasa terjaga.

Eksesais yang bermula 12 hingga 23 Oktober 2020 ini melibatkan ruang udara sekitar Semenanjung Malaysia dan pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan rendah pada waktu siang dan malam di beberapa kawasan yang telah digazetkan sebagai lokasi latihan.

Latihan ini diadakan oleh TUDM bagi memastikan keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan sentiasa berada di tahap yang terbaik khususnya di dalam melindungi kedaulatan ruang udara negara.