BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2020 - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) komited untuk bekerjasama dan mengekalkan kesiagaannya dalam membantu negara menangani pandemik Covid-19 yang kini memasuki gelombang ketiga.

Melalui pelaksanaan Op Penawar, 1,140 anggota Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah diatur gerak dalam membantu pihak berkuasa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM, anggota telah ditempatkan dalam penugasan Sekatan Jalan Raya (SJR), rondaan berkenderaan serta meningkatkan aspek kawalan seperti pemasangan kawad di kawasan yang berisiko tinggi seperti yang dilaksanakan di Kunak dan Semporna, Sabah.

Tugasan turut termasuk dalam pelaksanaan kumpulan petugas operasi pematuhan dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP Pemulihan (PKPP) seperti yang ditetapkan.

Menurut beliau lagi, atur gerak bagi anggota akan ditambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa terutama di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Klang.

Pada masa yang sama, Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan kerjasama agensi keselamatan lain seperti ATM, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia menerusi Op Benteng akan terus mempertingkat kawalan sempadan maritim dan darat.

Selain itu, Kor Kesihatan Diraja komited bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan beroperasi secara bersepadu dengan menyediakan Penasihat Teknikal bagi menyokong pengoperasian KKM dalam menangani wabak Covid-19.

TUDM turut melaksanakan penerbangan khas membawa peralatan perubatan, pakaian perlindungan diri (PPE) dan sampel RT dengan menggunakan pesawat A400M daripada No 22 Skuadron berpangkalan di Pangkalan Udara Subang.