BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021
Slider

TAWAU, 4 Sept 20 – Pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya melaksanakan misi membawa pulang sebuah pesawat Nuri, M23-28 dari No. 7 Skn yang ditempatkan Detasmen OP Pasir, Tawau ke Pangkalan Udara Kuching(PU Kuching), hari ini.

Pesawat Nuri yang berpangkalan di No. 7 Skuadron, PU Kuching adalah pesawat terakhir yang telah ditugaskan sebagai Detasmen OP Pasir, Tawau sebelum pengoperasian pesawat Nuri ditamatkan setelah lebih 50 tahun menabur bakti di dalam perkhidmatan TUDM.

Misi perpindahan pesawat helikopter Nuri dikenali sebagai "Op Rhino Return" ini telah diketuai oleh Ketua Staf MAWILUD 2, Brig Jen Muhammad Taha bin Hamdan TUDM selaku Ketua Tim Induk Perpindahan serta disertai bersama oleh Komander PU Kuching, Kol Mohd Azwan bin Mohd Pohari TUDM.

Untuk misi perpindahan ini, pesawat A400M dari No. 22 Skn yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang (PU Subang) telah berlepas pada jam 6.00 pagi tadi dan selamat tiba di Lapangan Terbang Tawau pada jam 9.00 pagi. Seterusnya, proses memuat naik pesawat Nuri ke dalam badan pesawat A400M telah dilaksanakan dengan penglibatan daripada Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU), Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2), PU Kuching, Pangkalan Udara Labuan (PU Labuan) dan Pusat Bantuan Operasi Udara (PBOU), Tawau.

Proses perpindahan helikopter ini dilaksanakan di dalam 5 fasa, yang bermula dari 1 Ogos 2020 dan dijangka akan selesai sepenuhnya pada 11 September 2020. Fasa yang dilaksanakan oleh pesawat A400M pada hari ini merupakan "Relocation Aircraft" yang mana melibatkan perpindahan rangka pesawat Nuri tersebut.
Untuk misi "Op Rhino Return", kerja-kerja membawa helikopter Nuri M23-28 dari Tawau ke PU Kuching dengan pesawat pengangkut A400M telah diterbangkan oleh Pegawai Memerintah No. 22 Skn iaitu Lt Kol Yusrizal bin Zain TUDM bersama enam (6) orang juruterbang lain serta 12 anak kapal. Kejayaan misi ini sekaligus membuktikan keupayaan aset TUDM menggemblengkan elemen "Man, Machine and Method" dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua yang terlibat di dalam menjayakan misi ini.