BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021
Slider

Kuala Lumpur, 19 Ogos 2020 - Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) bersama Unit Integriti, Kelab Kakitangan Awam Kementerian Pertahanan (KAKEP), Persatuan Kebajikan Pekerja-Pekerja Awam Islam Kementerian Pertahanan (PKPAI) dan PUSPANITA Kementerian Pertahanan telah menganjurkan Majlis Wacana Isu Akidah dan Tausiah bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan.

Program yang diadakan secara tahunan bersama Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) ini bertujuan untuk berkongsi maklumat dan isu-isu semasa kepada masyarakat umum terutamanya kepada warga Kementerian Pertahanan dalam mendepani cabaran yang melibatkan hukum syarak dan berkongsi pengalaman dalam mencari penyelesaian dan penjelasan fatwa-fatwa yang telah diputuskan oleh PMWP.

Majlis yang diadakan mengikut norma baharu ini telah dihadiri oleh 250 warga termasuk 20 orang jemputan dari Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM).

Wacana yang bermula seawal jam 8 pagi telah dibahagikan kepada tiga sesi. Penceramah yang terlibat adalah Ustaz Muhammad Fahmi bin Rusli, Ustaz Eizzul A'la bin Bajuri@Mohamad dan sesi kemuncak adalah bersama Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Sahibus Samahah Dr. Luqman bin Abdullah.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato' Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM, Timbalan Ketua Pengarah Operasi KAGAT, Brigedier Jeneral Dato' Hj Nawawi bin Daud, Pegawai-pegawai kanan ATM dan Kementerian.