BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021
Slider

KUALA LUMPUR, 19 Ogos 2020 - Kementerian Pertahanan menyasarkan kutipan Kempen Tabung Pahlawan 2020 mencapai RM10 juta bagi menyokong usaha kerajaan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan Veteran ATM terbela.

Namun begitu, berikutan negara masih belum bebas wabak COVID-19, Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob berkata semua program Kempen Tabung Pahlawan 2020 tidak dibuat dalam skala yang besar seperti mana tahun lepas selari dengan norma baharu yang diamalkan pada masa kini.

Menurut beliau, pada tahun ini kaedah promosi melalui aplikasi media akan diutamakan iaitu melalui media cetak dan media elektronik. Melalui platform online pula, promosi akan digerakkan melalui media sosial antaranya aktiviti lintas langsung, siaran video di saluran YouTube dan e-poster berkaitan Kempen Tabung Pahlawan.

Beliau turut menyeru agar lebih ramai lagi rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk memberi sumbangan kepada Kempen Tabung Pahlawan 2020 sebagai penghargaan kepada pejuang-pejuang yang tidak pernah berputus asa untuk memastikan keamanan dan kedaulatan negara terus terjamin.

Sumbangan tabung ini akan digunakan sepenuhnya bagi menjaga kebajikan veteran dan ahli keluarga secara menyeluruh terutama veteran kelainan upaya (VKU), balu veteran serta ahli keluarga serta Veteran ATM kategori asnaf.

Kementerian juga telah merangka satu program yang dikenali oleh Program Cakna Veteran ATM iaitu dengan melaksanakan ziarah kepada Veteran ATM dan tanggungan yang berada dalam keadaan tua, daif, uzur dan memerlukan bantuan. Setiap ziarah dan lawatan kebajikan yang dibuat turut disertakan sumbangan kepada Veteran ATM dan tanggungan yang memerlukan.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual menerusi siaran langsung Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 yang diikuti dengan Majlis Pelancaran Tabung Pahlawan 2020 yang telah disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri merangkap Penaung Tabung Pahlawan 2020, Puan Sri Datin Paduka Hajah Noorainee binti Hj Abdul Rahman di Sri Pentas, hari ini.

Majlis ini merupakan kolaborasi Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dan Media Prima Berhad yang turut di hadiri oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato'Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato' Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang TUDM & Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain bin Ahmad.